Kerjasama UMNO dan PAS Sangat Membantu, Untungkan Umat Islam – Zawawi

KOTA BHARU – Kerjasama bukan bersifat politik pilihan raya antara Pas dan UMNO merupakan satu keperluan kepada Islam, kata Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh.

Malah, menurut Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas itu, kerjasama yang terjalin sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) antara dua parti Melayu itu sangat-sangat membantu dalam memberikan keuntungan kepada umat Islam.

Katanya, kerjasama yang terjalin dalam pelbagai perkara itu dilihat semakin baik dan boleh diteruskan bagi membentuk satu hubungan yang lebih akrab.

“Ya, setakat ini (ia) sangat-sangat membantu, dan memberikan keuntungan kepada Islam, masyarakat Melayu, (dari) banyak aspek. Ia dilihat sebagai satu keperluan yang ada sekarang.

“Kita mengadakan hubungan sudah lama, sebelum pilihan raya. Pas-UMNO sangat terbuka, asalkan matlamat dibawa ada persamaan. Di masa hadapan, (kita) akan buat keputusan lebih khusus berhubung perkara ini,” kata Nik Muhammad Zawawi.

Pas juga, katanya, perlu melihat reaksi penyokong parti itu dan penyokong UMNO dalam menilai semula kerjasama itu kerana agama meletakkan asas supaya umat Islam bersatu.

Namun, sehingga kini, kata Nik Muhammad Zawawi, tiada perbincangan khusus dalam Majlis Syura mengenai gabungan dengan UMNO dalam satu pakatan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan ada satu ketetapan khusus dari majlis itu berhubung kedudukan antara dua parti itu.

Majlis Syura merupakan badan tertinggi dalam Pas yang boleh membuat ketetapan terhadap hala tuju parti. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.