Kerajaan Tak Halang Himpunan, Tapi Cuma Satu Sahaja Permintaan Iaitu……

SHAH ALAM – Menjelang penganjuran Himpunan Ummah yang akan berlangsung petang esok, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sempat ‘menitipkan pesanan’ kepada para peserta himpunan berkenaan.

Menerusi satu klip video bertajuk ‘Pesanan Ringkas Kepada Peserta Himpunan Anti-ICERD’ yang dikongsi di laman sosial rasmi Twitter beliau, perdana menteri berkata kerajaan tidak akan menghalang penganjuran himpunan itu, namun peserta perlu mematuhi beberapa perkara. 

“Bagi pihak kerajaan, jika perhimpunan itu diadakan atas dasar kesyukuran, kita mengucapkan terima kasih kerana sokongan yang ditunjukkan. 

“Pihak kerajaan tidak berhasrat menghalang atau menyukarkan penganjur perhimpunan kerana ini bertentangan dengan dasar kerajaan yang mendokong prinsip-prinsip demokrasi.

“Cuma satu sahaja permintaan Kerajaan iaitu penganjur perlu membantu pihak polis dan pihak berkuasa yang lain di dalam memastikan tidak berlaku kekacauan atau kerosakan ke atas harta benda awam. 

“Jika boleh jangan membuang sampah di merata-rata tempat dan jagalah kebersihan,” kata beliau.

Dr Mahathir juga berharap agar himpunan tersebut berjalan dengan lancar. 

Sebelum ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan memberi lampu hijau bersabit penganjuran himpunan bantah ratifikasi ICERD, di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, kebenaran tersebut dibuat hasil mesyuarat bersama agensi kerajaan dan PDRM, yang meyakini perhimpunan itu bakal diadakan secara aman.

Himpunan itu dijangka disertai ratusan ribu peserta dari seluruh negara, dan bakal menjadikan ia himpunan gergasi tanpa mengira fahaman politik. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.