Kadir Jasin Lobi Exco Johor Untuk Jadi MB?

KUALA LUMPUR – Tindakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, A Kadir Jasin yang mendesak Menteri Besar, Datuk Osman Sapian menjelaskan mengenai penukaran status Pulau Kukup sebagai sebuah taman negara mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim .

Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, namun TMJ menerusi Twitter dilihat tidak berpuas hati dengan tindakan Kadir yang mencampuri urusan kerajaan negeri Johor menerusi isu tanah Pulau Kukup.

Menulis di laman Twitter, baginda mengingatkan bahawa Johor masih mempunyai seorang sultan yang memerintah.

Malah TMJ mendedahkan bahawa Kadir mempunyai keinginan untuk menjadi Menteri Besar Johor sebelum ini dengan melobi salah seorang Exco kerajaan negeri tersebut. 

“Kamu bukan perdana menteri. Apa yang membuatkan kamu berfikir dengan cuba melobi mempunyai menteri besar yang akan menjadi boneka, kamu boleh menguasai Johor?

“Kamu melobi seorang daripada exco kami untuk jadi MB (menteri besar). Kami tahu. Ini bukan lagi tahun 1992. Negeri Johor masih ada sultan yang memerintah,” tulisnya.

Kadir menerusi blognya berkata jika Menteri Besar Johor itu perlu meletakkan jawatan jika gagal memberikan penjelasan tentang penukaran status tanah itu. 

Tunku Ismail 5 Disember yang lalu, menjelaskan bahawa pembatalan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi adalah supaya membolehkan ia diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan.

Osman hari ini dipetik sebagai berkata, kerajaan negeri akan menyatakan pendiriannya berhubung kedudukan Pulau Kukup, Pontian sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan Dewan Undangan Negeri (DUN), Ahad ini.-SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.