Himpunan ICERD: Jangan Lakukan Provokasi, Ucapan Hasutan – KP KL

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mahukan perhimpunan kesyukuran terhadap keputusan kerajaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), esok dijalankan secara aman dan tenteram tanpa sebarang provokasi dan ucapan berbaur hasutan.

Selain itu, peserta juga diingatkan agar tidak membawa sebarang sentaja dan kanak-kanak serta perlu mematuhi arahan polis yang bertugas agar perhimpunan secara aman dapat dicapai.

“Peserta perhimpunan diingatkan jangan mencetuskan sebarang provokasi termasuk terhadap anggota polis, tidak membawa senjata berbahaya dan kanak-kanak, serta perlu mematuhi arahan pegawai polis yang bertugas.

“Kita mahukan perhimpunan yang aman, jangan timbulkan sebarang kekacauan dan perkara tidak diingini.

“Kepada yang ingin berucap, jaga pertuturan, jangan sesekali menerbitkan ketegangan menerusi ucapan berbaur hasutan dan mengguris hati,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Tambahnya, tindakan tegas berdasarkan undang-undang akan diambil terhadap peserta perhimpunan sekiranya cuba melanggar peraturan yang telah ditetapkan setelah kebenaran himpunan diberikan.

“Kita beri kebenaran berhimpun, kita hormati kebebasan bersuara tetapi harus diingat kita ada undang-undang yang perlu dipatuhi, kita ada Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Selain itu, peserta juga dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam, dan meletakkan kenderaan di luar kawasan tempat berkumpul bagi mengelakkan kesesakan.

“Orang ramai juga diminta untuk memberikan kerjasama dengan tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluluskan perhimpunan kesyukuran ICERD, Sabtu ini. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.