‘Gelagat’ Pengkritik Tolak Pelabur Keluar, Kata Lynas

KUALA LUMPUR: Lynas Malaysia berkata, ia bersedia menawarkan pengalamannya dalam pembangunan ekosistem holistik kepada industri yang menggunakan bahan radioaktif semulajadi (Natural Occuring Radioactive Materials – NORM) seperti dicadangkan jawatankuasa semakan kerajaan ke atas operasinya.

Bagaimanapun ia mengingatkan bahawa “gelagat” pengkritik boleh menghalang pertumbuhan industri hiliran.

Dalam temu bual dengan FMT, ketua eksekutif Lynas, Amanda Lacaze berkata, syarikat itu mengalu-alukan dapatan dan syor jawatankuasa berkenaan.

Beliau berkata, jawatankuasa semakan itu dalam laporannya mengakui bahawa industri berteknologi tinggi berkaitan NORM akan mengalami pertumbuhan pesat pada masa depan, dan kerajaan perlu melihat isu itu secara holistik bagi mewujudkan ekosistem yang mapan.

Jawatankuasa itu menyebut, ekosistem berkenaan perlu disokong dengan undang-undang, governans, pendidikan, pembangunan bakat, penyelidikan dan pembangunan, inovasi dan etika bagi menepati standard antarabangsa.

Lacaze berkata, Lynas boleh menyumbang dalam bidang itu kerana ia sentiasa mematuhi standard antarabangsa dan amalan terbaik dalam operasinya.

Beliau juga berkata, Lynas merupakan satu-satunya pengeluar bahan nadir bumi yang siap diproses di luar negara China.

“Kami beranggapan, pembangunan industri hiliran nadir bumi di sini sangat penting kerana ia kini berkembang di China. Lynas boleh menyediakan asas kukuh untuk tujuan itu di Malaysia.

“Jika anda mahu membina kereta nasional ke-3, iaitu industri kereta elektrik, anda perlu nadir bumi. Tidak akan ada industri automotif tanpa nadir bumi kerana setiap buah kereta yang ada di jalan raya mengandungi nadir bumi.”

Lacaze berkata, nadir bumi ada dalam enjin pembakaran dalam, kenderaan hibrid dan elektrik, dan penggunaan bahan itu akan terus bertambah dengan kemajuan teknologi.

Katanya, industri nadir bumi perlu wujud di Malaysia kerana ia menjadi semakin penting dalam rantaian bekalan dunia.

Bagaimanapun tindak-tanduk kelompok yang menentang Lynas, yang menurut Lacaze tidak didasarkan pada fakta saintifik, boleh menggugat usaha tersebut, kata beliau.

“Apabila anda bercakap tentang bahan bermagnet, maka pembuatan magnet adalah peringkat penting dalam rantaian bekalan dunia.

“Tiga kali Lynas berjaya menarik pembuat magnet untuk melabur di Malaysia, malangnya setiap kali ia berlaku, ‘gelagat’ kumpulan anti-Lynas memaksa mereka berundur.”

Lacaze sebelum ini memberitahu FMT bahawa hujah kumpulan yang mengkritik Lynas berhubung dakwaan bahaya alam sekitar tidak didasarkan pada sains, dan hanya bertujuan menakutkan orang ramai.

Beliau berkata, operasi syarikat itu telah diperiksa 8 kali, 2 kali oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen dalam 4 kes, dan terbaru oleh jawatankuasa semakan yang ditubuhkan kerajaan baru Putrajaya.

“Jawatankuasa semakan itu mengakui bahawa Lynas pada dasarnya berisiko rendah dan kami mempunyai amalan pengurusan yang semakin mengurangkan risiko itu,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.