Panglima ATM Adakan Pertemuan Dengan Presiden Myanmar Berhubung Isu Rohingya

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengadakan pertemuan dengan Presiden Myanmar, Htin Kyaw di kediaman presiden di Naypyitaw, Myanmar, malam semalam.

 

Menurut laporan Myanmar Times hari ini, pertemuan itu bertujuan meredakan ketegangan susulan hubungan Malaysia-Myanmar yang dikatakan terjejas akibat kritikan keras perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang diadakan di Kuala Lumpur pada Ahad.

 

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat ketua tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing telah memaklumkan kepada Zulkifeli bahawa tiada sebarang pencabulan hak asasi manusia telah dilakukan ke atas etnik Islam Rohingya di negara itu.

 

Pihak berkuasa Myanmar juga menurutnya tidak boleh menipu dalam isu itu berikutan tumpuan media tempatan dan antarabangsa dalam isu berkenaan.

 

Sementara itu, kenyataan daripada pejabat presiden pula dilaporkan berkata ketegangan itu timbul susulan ‘berita palsu’ yang tersebar dan kerajaan Myanmar sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit di negeri Rakhine mengikut undang-undang sedia ada dan standard hak asasi manusia yang diguna pakai.

 

Pada perhimpunan Ahad lalu, lebih 10,000 menghadiri perhimpunan yang diadakan di Stadium Titiwangsa di ibu negara.

 

Perhimpunan yang turut disertai timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mengumpulkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain tokoh-tokoh politik, masyarakat dan negara sebagai tanda solidariti menentang kekejaman terhadap etnik Rohingya.-Awani

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.