NGO Gesa Usul Mesyuarat Tergempar Asean Isu Rohingya

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jalur Tiga Malaysia (Jati) menggesa kerajaan mencadangkan kepada mesyuarat tergempar Menteri-menteri Luar Asean untuk membuat pendirian dan menuntut kerajaan Myanmar memberhentikan kekejaman mereka, atau menggantung keahlian Myanmar daripada Asean.

 

Presidennya, Prof. Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman berkata, langkah tersebut perlu dibuat bagi memastikan nasib etnik tersebut terbela dan dipelihara.

 

“Kami mohon kerajaan meneruskan sokongan dengan tindakan susulan yang wajar agar nasib etnik Rohingya terus mendapat pembelaan.

 

“Kami mahu mesyuarat tergempar diadakan segera dan membuat satu keputusan serius terhadap Myanmar seperti menggantung Myanmar dari negara Asean sehingga permasalahan etnik Rohingya di Myanmar dapat diselesaikan,” katanya.

 

Pihaknya dalam masa yang sama turut meminta kerajaan sebagai salah satu anggota majlis keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatakan kebimbangan pembunuhan beramai-ramai serta ‘etnik cleansing’ yang dilakukan oleh tentera Junta di Myanmar terhadap umat Islam di sana.

 

“Adakah mereka melihat pembunuhan beramai-ramai, membakar rumah-rumah serta penghuninya dan membunuh serta membakar kanak-kanak hidup-hidup sebegitu adalah perkara remeh yang tidak perlu diberi perhatian?

 

“Memandangkan Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Orang Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1951, pelarian Rohingya tidak boleh mendapatkan pekerjaan untuk menyara hidup mereka di sini, anak-anak mereka tidak mendapat peluang pendidikan, serta perkhidmatan kesihatan yang sempurna,” katanya lagi.

 

Dalam masa yang sama, pihaknya turut menyatakan sokongan penuh terhadap Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya yang telah berlangsung di Stadium Titiwangsa pada hari Ahad lalu.

 

Menurutnya, Pas dan Umno seharusnya terus bekerjasama untuk memastikan kepentingan umat negara ini tetap terjaga dan terbela.

 

“Kami berterima kasih kepada sokongan dan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan yang turut serta menjayakannya.

 

“Kami juga melahirkan rasa syukur dan sokongan padu kepada kesediaan para pemimpin dua parti besar Melayu Islam daripada Umno dan Pas yang hadir baru-baru ini,” ujarnya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.