Terengganu Kenakan Kompaun RM45,000 Terhadap Pengendali Bauksit

Kuala Terenganu – Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu mengeluarkan RM45,000 kompaun sepanjang tahun ini terhadap pelbagai kesalahan berkaitan perlombongan bauksit di Kemaman, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

 

Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD), kesalahan berkaitan lori bauksit dari Januari hingga November di Kemaman adalah 223 kesalahan.

 

“Daripada jumlah itu, 67 kompaun dikeluarkan, 2 kes mahkamah, 111 kes dalam semakan pegawai undang-undang, 5 kes dibekukan urus niaga dan 1 kes melibatkan lesen pengendali digantung dan dibatalkan.

 

“Selain itu, 20 kes masih dalam semakan akhir penyiasatan, 13 kes masih dalam semakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), 3 surat amaran dikeluarkan dan 1 kes yang tidak diambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tindakan mengeluarkan kompaun itu adalah rentetan penubuhan jawatankuasa khas yang diwujudkan kerajaan negeri bagi menangani masalah yang menjejaskan kepentingan awam dan penduduk tempatan di kawasan itu, sebelum ini.

 

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri tidak mengambil sikap lepas tangan dalam hal berkenaan, malah beberapa operasi bersepadu diusahakan membabitkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), PTG serta Pejabat Daerah Kemaman.

 

“Sebelum ini, kerajaan negeri mengarahkan pegawai PTG membuat rondaan 24 jam di kawasan berkenaan setelah didapati terdapat perlombongan secara haram berlaku di kawasan terbabit dan berjaya mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang menceroboh dan melombong bauksit,” katanya.

 

Minggu lepas, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar menyuarakan kebimbangannya mengenai aktiviti perlombongan bauksit yang didakwa semakin meresahkan rakyat sekitar kawasan Air Putih.

 

Ini kerana, aktiviti berkenaan mendatangkan banyak keburukan dalam pelbagai aspek sehingga menjejaskan rutin harian penduduk setempat, katanya.

 

Hakim juga meminta kerajaan negeri bekerjasama dengan Pahang dalam menangani masalah berkenaan secara serius.

 

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri sentiasa berusaha mengambil tindakan tegas dalam mengatasi masalah berkaitan lori bauksit dari Pahang ke Pelabuhan Kemaman kerana ia melibatkan laluan awam.

 

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai kata putus mengenai hal berkaitan tanah dan galian, akan tetapi terdapat juga beberapa perkara yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” kata Ahmad Razif.

 

Beliau turut mengulangi pendirian tegas Terengganu untuk tidak membenarkan sebarang kelulusan terhadap perlombongan bauksit di negeri tersebut. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.