PKR Mahu Usaha Pujuk PAS – Azmin

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak bersetuju dengan kenyataan beberapa pihak yang menyatakan 2 pakatan pembangkang yang berasingan akan bertanding pada pilihan raya umum datang (PRU14), kata Mohamed Azmin Ali.

 

Timbalan presiden PKR itu berpendapat, selari dengan amalan demokrasi, perbincangan untuk menyelesaikan perselisihan faham antara PAS, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) akan tetap diteruskan bagi menghadapi PRU14.

 

“Kita kena inklusif, baru kita boleh sampai ke Putrajaya. Kalau berseorangan (bergerak sendirian), kita tidak akan ke sana (Putrajaya).

 

“Bincang, bincang, bincang. Proses ini berterusan. Ia tidak boleh diselesaikan dalam 1 mesyuarat.

 

“Ia memerlukan beberapa siri perbincangan untuk mendapat persefahamaan dengan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas perasmian majlis perhimpunan bulanan jabatan kerajaan negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

 

Sebelum ini, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub sependapat dengan Naib Presiden PKR Chua Tian Chang yang membayangkan 2 pakatan pembangkang akan bertanding untuk PRU14 memandangkan PAS enggan menyertai Pakatan Harapan yang dianggotai DAP, PKR dan Amanah.

 

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, PKR meletakkan agenda perjuangan yang jelas untuk melakukan perubahan di peringkat negara dan Putrajaya.

 

“Ini hanya akan berlaku sekiranya semua pihak mempunyai “humility” (kerendahan hati), tawaduk – menerima pandangan yang berbeza. Demokrasi ini 1 proses yang bising.

 

“Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sebut “democracy is a noisy process”, di mana ada setuju, ada tak setuju. Kita kena bertoak ansur. Ada pandangan berbeza. Itulah demokrasi,” katanya.

 

Semalam, Salahuddin dilaporkan sebagai berkata sebarang keputusan berhubung polisi dan masalah membabitkan Pakatan Harapan akan diputuskan jawatankuasa gabungan Amanah, PKR dan DAP.

 

Salahuddin berkata demikian mengulas kenyataan Chua yang mengatakan partinya sedang mempertimbangkan kemungkinan pembangkang akan bertanding dalam PRU14 sebagai 2 pakatan berasingan.

 

Pada masa sama, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad berkata semalam, parti itu menolak idea 2 gabungan pembangkang bagi menghadapi PRU14, mengibaratkannya seperti “sudah ada ijazah universiti tetapi kembali ke sekolah untuk belajar lagi.”

 

Pada Oktober, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan pernah mencadangkan perkara sama di Selangor ketika menegaskan pendirian parti Islam itu meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu.

 

Katanya, walaupun PAS tidak bersama Pakatan Harapan, kerajaan negeri itu boleh ditadbir 2 pakatan pembangkang serentak, mengambil contoh ketika kewujudan parti Semangat 46 dan Angkatan Perpaduan Ummah di Kelantan pada 1990.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.