Muhyiddin Umum Tanding Jawatan Presiden UMNO, Malam Ini Kata Sumber

Kuala Lumpur – Timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan membuat pengumuman untuk bertanding jawatan presiden parti itu pada pemilihan UMNO yang akan datang.

 

Menurut sumber SuaraTV, pengumuman itu bagi memastikan beliau terus mendapat sokongan rakyat khususnya perwakilan Umno yang akan mula bersidang Khamis ini.

 

“Beliau akan mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam masa terdekat ini.

 

“Keputusan untuk mencabar Najib itu antara lainnya bertujuan untuk memastikan ahli Umno khususnya para perwakilan terus kekal menyokongnya” ujar sumber itu kepada SuaraTV sebentar tadi.

 

Sumber itu turut mendakwa Muhyiddin akan mengumumkan hasrat tersebut ketika menyampaikan amanatnya dalam satu perhimpunan khas di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam ini.

 

“Sekiranya himpunan malam ini mendapat sambutan yang mengalakkan, Muhyiddin akan membuat pengumuman tersebut sebagai semangat kepada para penyokongnya. sekaligus mencetuskan api bantahan kepada Najib.

 

“Beliau juga bakal mengumumkan nama-nama mereka yang akan turut bertanding menentang team Najib dalam pemilihan akan datang bertujuan untuk menghangatkan perhimpunan perwakilan Umno pada kali ini” ujar sumber itu lagi.

 

Sementara itu sumber dalaman Umno mengesahkan beberapa pemimpin utama dan veteran Umno bakal hadir malam ini, antaranya Naib Presiden Datuk Shafie Apdal dan bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad.

 

Selain itu, kumpulan pemimpin akar umbi yang tidak berpuas hati menamakan diri mereka Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) juga sudah mengesahkan akan turut hadir.

 

Salah seorang jurucakap GKCM, Rushdan Mohamed berkata himpunan yang dianjurkan Muhyiddin menunjukkan Umno masih tidak tersasar daripada landasan sebenar di mana ia bukan milik seseorang individu.

 

Bekas perdana menteri Dr Mahathir dalam satu program di Senawang pada Sabtu lalu berkata, Muhyiddin perlu mengambil risiko dan perlu sedia berdepan dengan segala kemungkinan.

 

“Seperti dalam perniagaan, pasti ada risikonya. Muhyiddin perlu berani mengambil risiko,” katanya ketika menjawab soalan salah seorang hadirin apabila ditanya mengenai kemungkinan bakal dihadapi Muhyiddin.

 

Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan mesyuarat 3 sayap parti itu akan dirasmikan ketua masing-masing, dan tidak lagi timbalan presiden seperti kelazimannya.

 

Katanya, cadangan itu dibuat sayap Umno tersebut.

 

Muhyiddin hilang jawatan timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet Julai lalu selepas mengkritik cara pengendalian Najib terhadap syarikat yang diilhamkan beliau, 1MDB, yang sarat dibebani hutang.

 

Selepas dipecat, beliau masih terus bercakap menentang perdana menteri berhubung perkara ini. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.