Mat Sabu Jadi Jurucakap DAP, Kata Pemimpin PAS

SHAH ALAM – PAS mendedahkan kenyataan terbaru Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu yang mengaitkan PAS dengan Islamic State (IS) jelas membuktikan beliau kini menjadi jurucakap kepada DAP.

 

Menurut Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Datuk Mustafa Ali, tindakan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu ini adalah strategi DAP dalam memburukkan PAS.

 

“Untuk menyelamatkan diri, Mat Sabu tidak kisah untuk menjadi alat atau jurucakap DAP apalagi persepsi umum sudah melihat Amanah tidak lebih dari proksi DAP.

 

“Oleh itu, walaupun tuduhan itu berniat jahat tapi provokasi itu tidak akan memberi kesan kepada PAS kerana rakyat dan masyarakat umum sudah memahami pendirian PAS.

 

“Sebaliknya ia akan mengesahkan pandangan rakyat bahawa Amanah dan Mat Sabu adalah proksi DAP sebagai satu realiti bukan lagi sekadar satu persepsi”, katanya dalam satu kenyataan.

 

Bekas Setiausaha Agung PAS itu menujuk kepada kenyataan Mat Sabu yang mengaitkan PAS dengan IS baru- baru ini.

 

Jelasnya, kenyataan bekas Timbalan Presiden PAS yang kini menjadikan PAS sebagai musuh nombor satu DAP, turut mendakwa kenyataan ini tidak dipersetujui oleh ahli Amanah yang lain.

 

“Mengikut sumber dalaman, kenyataan (Mat Sabu) sebenarnya tidak dipersetujui oleh sebahagian besar pimpinan utama PAN. Dan Mat Sabu membuat kenyataan ini tanpa merujuk dan mendapat restu mereka”, kata Mustafa menafikan dakwaan Mat Sabu.

 

Mustafa juga mendakwa langkah Mat Sabu mengaitkan PAS dengan IS adalah perancangan DAP untuk menakut-nakutkan pengundi Cina semasa Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak tahun hadapan.

 

“Khabarnya, Mat Sabu juga sudah mendapat jaminan Lim Guan Eng untuk bertanding di satu kawasan selamat dalam PRU ke-14 akan datang sama ada di bawah simbol Amanah atau DAP,” jelas Mustafa.

 

Mohamad Sabu pada Selasa mendakwa antara punca penubuhan Amanah adalah kerana bekas partinya, PAS, sudah diresapi pemikiran Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

 

Beliau dalam pada itu turut menggesa pihak keselamatan menjalankan siasatan ke atas penyusupan pemikiran Isis yang menyebabkan suburnya budaya ‘takfiri’ dalam PAS.

 

Perkara itu menimbulkan persoalan banyak pihak mengapa dakwaan Mat Sabu dibuat sekarang dan bukannya semasa beliau pernah menjadi orang nombor dua parti. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.