Kit Siang Biasa Kencing Berdiri, Bidas Speaker Dewan Rakyat

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen DAP-Gelang Patah, Lim Kit Siang telah memijak martabatnya sendiri apabila mempertahan dua ahli parlimen parti itu yang mendesak Tan Sri Pandikar Amin Mulia meletak jawatan kerana kononnya gagal melaksanakan penambahbaikan Parlimen.

 

Menurut Speaker Dewan Rakyat itu, Kit Siang adalah ‘sebagai guru yang selalu kencing berdiri dihadapan anak anak buahnya, maka perbuatan kencing berlari adalah hal biasa pada anak-anak buahnya.

 

“Beliau seperti bapa yang mempertahankan anak anak yang terbukti nakal. Sebagai supremo DAP dan ahli parlimen yang berpengalaman dan antara yang tertua di Dewan Rakyat, beliau tidak patut mempertahankan ketidaksopanan dua anak buahnya itu,” katanya seperti yang dilaporkan oleh portal BNBBC.

 

Pandikar berkata demikian ketika mengulas tindakan Kit Siang mempertahankan Ahli Parlimen Tanjung Ng Wei Aik dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang dicabar oleh Pandikar Amin supaya melepaskan kerusi masing-masing apabila penambahbaikan Parlimen itu dibawa pada sesi Dewan Rakyat, awal tahun depan.

 

Penasihat DAP itu dalam kenyataan hari ini turut mendesak Pandikar Mulia melepaskan jawatan kerana menyifatkan tindakan Speaker itu sebagai serangan peribadi terhadap dua ahli parlimen daripada DAP tersebut.

 

Sebelum ini, kedua-dua ahli parlimen pembangkang itu mendakwa Pandikar Amin patut meletak jawatan kerana gagal membentangkan pembaharuan Parlimen pada sidang Dewan Rakyat yang berakhir 3 Disember lalu.

 

Pandikar Amin juga akan menggunakan Peraturan Mesyuarat 35 untuk tidak membenarkan dua orang ahli parlimen itu bangun untuk bercakap jika enggan melepaskan jawatan jika penambahbaikan itu dilaksanakan awal tahun nanti.

 

Katanya, walau pun sebagai Speaker, beliau juga berhak membela diri jika perlu dari serangan yang tidak bertanggung jawab dari ahli-ahli parlimen kalau serangan itu mengaibkan beliau secara peribadi selain ia adalah sikap biadap sebagai ahli-ahli Dewan Rakyat yang sepatutnya menghormati kedudukan Speaker.

 

“Apakah dua ahli parlimen itu budak-budak bawah umur, ingusan yang tidak mampu mempertahankan diri mereka dari tindakbalas Speaker yang mereka cuba aibkan?

 

“Atau sememangnya, itulah sebenarnya yang berlaku dalam parti DAP. Kit Siang adalah ‘sebagai guru atau penasihat yang selalu kencing berdiri di hadapan anak anak buahnya, makanya perbuatan kencing berlari adalah hal biasa pada anak-anak buahnya,” tegas Pandikar Amin, Ahad.

 

Sebagai Speaker, jelasnya, kedudukan beliau sepatutnya sentiasa dihormati oleh ahli-ahli Dewan Rakyat jauh sekali diserang secara peribadi sebaliknya termasuk Kit Siang, apatah lagi kalau serangan itu berunsur politik dan propaganda parti.

 

Menurutnya, beliau sentiasa memertabatkan institusi Parlimen dan tanggungjawab tersebut juga terletak dibahu setiap ahli Dewan.

 

Sebaliknya, kata Pandikar Amin, yang sentiasa meruntuhkan institusi itu ialah sikap ahli-ahli parlimen seperti Kit Siang yang sentiasa meletakkan keegoan mereka dan agenda politik masing-masing di atas kepentingan memertabatkan insitusi Parlimen dan institusi Spekar. Mempertahankan sikap tidak sopan dua orang anak buahnya yang mengaibkan Speaker tanpa asas yang kukuh ada contoh klasik.

 

“Itu adalah contoh klasik yang menjadikan jawatan Speaker dan institusi Parlimen tidak dihormati. Kalau Kit Siang dan anak anak buahnya menghormati Speaker sebagai ketua mereka, hal masyarakat awam tidak menghormati Speaker dan institiusi parlimen tidak akan berbangkit. Saya tidak akan mengaibkan sesiapa ahli Dewan Rakyat tanpa sebab,” jelasnya lagi.

 

Tegas beliau, jawatan Speaker bukannya ‘punching bag’ Kit Siang dan anak anak buahnya.

 

“Speaker bukannya jawatan ‘bisu dan tuli’ yang boleh dihina dan diaibkan dengan sesuka hati dan pada bila bila masa oleh sesiapa. Mana-mana ahli yang tidak menghormati Speaker tidak seharusnya mendapat penghormatan dari Speaker malah perlu diambil tindakan setimpal,”.

 

“Kalau saya berdiam diri, masyarakat umum yang tidak arif dengan ‘convetion’ atau kelaziman prosedur parlimen akan menganggap tuduhan liar terhadap saya sebagai Speaker adalah benar.

 

“Dalam hal yang berbangkit ini, saya perlu buat respon yang setimpal kerasnya dengan tuduhan liar yang dilimparkan kepada saya,” ujar beliau.

 

Sehubungan itu katanya, Kit Siang perlu letak jawatan bersama-sama dengan Wei Aik dan Lip Eng yang tiada kesopanan, kerana gagal menunjukkan sikap pemimpin yang boleh dicontohi oleh pemimpin-pemimpin muda yang mengaibkan Speaker.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.