Akta MKN Bukan Untuk Tangkap Pemimpin Politik

Kuala Lumpur – Akta baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diluluskan Parlimen minggu lalu tidak akan digunakan kepada pemimpin politik atau pengkritik kerajaan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low berkata akta berkenaan adalah untuk menangani insiden yang melibatkan pencerobohan kepada keselamatan negara.

 

Menurutnya, ia akan dikuatkuasakan kepada semua pihak termasuk pengganas, pihak yang membantu pengganas dan juga sekiranya ahli politik yang terlibat dengan pengganas.

 

“Saya tidak merasakan akta berkenaan akan digunakan kepada mereka yang berbeza pendapat dan ahli politik melainkan mereka merupakan pengganas.

 

“Kita perlu lihat dari sudut seperti insiden pencerobohan di Lahad Datu yang mana ia bukanlah ancaman lanun dan tindakan keganasan yang mana ia boleh ditangani oleh akta lain

 

“Oleh itu kita perlu lebih berhati-hati dan preventif dan akta berkenaan perlu untuk membolehkan zon keselamatan dapat diisytiharkan bagi menguatkuasakan perintah berkurung yang mana musuh adalah ‘non state enemy’ yang bukannya negara dan tidak tertakluk di bawah undang-undang,” katanya kepada pemberita hari ini.

 

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada majlis sambutan Hari Hak Asasi Manusia di Hotel Renaissance di sini.

 

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Tan Sri Hasmy Agam.

 

Tambah Paul yang merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi tadbir urus, hak asasi manusia dan integriti lagi, isu yang timbul berkaitan hanya melibatkan kepercayaan rakyat.

 

Jelasnya, kerajaan boleh mendapatkan kepercayaan tersebut dengan menggunakan akta berkenaan sewajarnya dan tidak dilaksanakan secara selektif.

 

“Mana-mana akta yang diluluskan boleh disalahgunakan dan saya percaya kerajaan perlu mendapatkan kepercayaan tersebut daripada rakyat.

 

“Jadi defisit kepercayaan perlu dikurangkan dan ia merupakan sesuatu yang perlu diberikan keutamaan,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.