Masjid Hussain Seremban 2 Diconteng

Seremban – Masjid Hussain Seremban 2, di sini turut menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab apabila didapati diconteng, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, Masjid yang baru dirasmikan pada 24 Oktober lepas itu diconteng dengan beberapa perkataan menggunakan pen penanda biru gelap.

Katanya, laporan mengenai kejadian itu diterima semalam dan sedang menyiasat kes tersebut kerana mencemarkan tempat ibadat.

“Kejadian dipercayai berlaku antara 10 pagi hingga 12 tengah hari semasa majlis perkahwinan sepasang pengantin sedang berlangsung di masjid itu.

“Perbuatan disyaki dilakukan orang dewasa kerana tulisan berada di bahagian yang tinggi,” katanya di sini hari ini.

Rabu lepas, Surau Hubbul Watan Taman Seremban Jaya Fasa 10 dan Pejabat Umno Bahagian Rembau, Jalan Seremban-Tampin, di sini dijadikan sasaran vandalisme diconteng, dilukis logo dan beberapa perkataan dengan menggunakan cat.

“Kes masih dalam siasatan dan pihak polis cuba mengesan suspek dalam kalangan tetamu yang hadir iaitu keluarga, sanak-saudara atau pun rakan-rakan kedua-dua pengantin,” katanya.

Selain itu, katanya kerosakan turut dikesan pada alat dan sistem pembesar suara masjid itu yang disedari oleh imam masjid ketika ingin melaungkan azan
Zohor.

Masjid Hussain Seremban 2 yang diwakafkan oleh pengasas Rashid Hussain Bank Berhad, Tan Sri Rashid Hussain telah disempurnakan pengisytiharannya oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada 24 Oktober lepas.

Masjid yang menelan belanja RM22.6 juta di tapak seluas 20,240 meter persegi ini boleh menampung 2,500 jemaah. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.