LDP Gesa Kerajaan Batal MyKad Yang Meragukan Di Sabah

Kota Kinabalu – Liberal Democratic Party (LDP) mahu kerajaan membatalkan MyKad di Sabah yang dikeluarkan dengan cara meragukan.

Presidennya, Teo Chee Kang menambah, kerajaan juga perlu ada dasar yang jelas untuk tidak memberi status pemastautin tetap (PR) atau kerakyatan kepada pendatang.

Menurut beliau, pihak berkuasa juga mesti mendalami siasatan untuk mengesan dalang yang melakukan kesalahan itu untuk membawa mereka ke muka pengadilan.

“Ini termasuk mengheret ketua-ketua kampung yang menyatakan sumpah bohong dengan mengisytiharkan pengesahan pendatang tanpa izin yang lahir di kampung-kampung mereka,” katanya dalam suatu kenyataan.

Chee Kang yang juga Menteri Tugasan Khas, menyatakan sokongan kepada pendirian tegas Kerajaan Sabah yang menentang masalah pendatang, di mana Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman menunjukkan keazaman politik yang tegas untuk menangani ibu kepada segala masalah yang mengganggu negeri ini sejak berdekad lamanya.

Katanya, beberapa dalang sudah ditahan dibawah Akta Keselamatan Negara (ISA), tetapi ramai lagi yang lain masih bebas.

Mengenai pemegang dokumen IMM13, kata Chee Kang, sepatutnya ada polisi yang jelas mengenai dokumen yang diberikan kepada pendatang dari selatan Filipina disebabkan perang saudara pada akhir tahun 1970-an.

Tambahnya, pemegang dokumen tersebut didakwa melebihi 70,000 dalam beberapa tahun kebelakangan.

Menurut Chee Kang, pada tahun-tahun berikutnya, jumlah mereka berganda dan jika mereka diberi status pemastautin tetap atau kerakyatan, mereka akan bersaing dan merampas peluang-peluang warga tempatan.

“Mereka pasti menghakis hak-hak anak negeri,” katanya dan menekankan perlu juga ada dasar jelas untuk tidak memberi mereka status PR atau kerakyatan.

Walaupun Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin dalam laporannya tidak merumuskan dengan jelas terma kewujudan ‘Projek IC’, ia mengakui memang ada rangkaian terancang di mana ada sindiket dan individu menyediakan khidmat kepada PTI untuk memohon dan mendapatkan IC Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.