Kaedah Sewa Beli Generasi Baharu Felda Dipertimbangkan

Putrajaya – Kaedah sewa beli adalah antara perkara yang akan dipertimbangkan untuk generasi baharu Felda memiliki rumah sendiri di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF).

Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata menerusi kaedah tersebut dapat memberi peluang kepada generasi yang tidak mempunyai penyata gaji kerana bekerja sendiri, selain sukar mendapat pinjaman bagi membeli rumah.

“Projek perumahan ini telah berjalan di seluruh Malaysia dan kini dihentikan buat sementara waktu untuk mencari kaedah terbaik bagaimana generasi baharu boleh memperoleh rumah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Konvensyen Generasi Baharu Felda 2014 di sini Sabtu.

Pada Oktober lepas, Felda mengumumkan akan membina 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara untuk generasinya dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam perkembangan lain, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) berhasrat melebarkan sayap perniagaan dalam bidang minyak dan gas pada tahun depan.

“Untuk masa hadapan yang lebih baik kita akan bekerjasama dengan syarikat milik orang Melayu yang berkaitan dengan bidang itu kerana kalau hendak mulakan yang baharu akan mengambil masa lama bagi mendapatkan keuntungan,” kata Mohd Isa.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti semua resolusi yang dikemukakan oleh warga belia Felda dalam konvensyen berkenaan yang bermula semalam.

Katanya Felda tidak akan sesekali mengabaikan generasi baharu kerana golongan berkenaan merupakan aset penting yang akan mewarisi Felda pada masa hadapan.

“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyatakan antara lima teras dalam hala tuju Felda 50 tahun akan datang ialah penyusunan generasi baharu Felda.

“Oleh itu, Felda sentiasa mendekati generasi baharu melalui peranan yang dimainkan oleh pelbagai cabang dan pertubuhan di bawahnya termasuk seperti konvensyen yang kita anjurkan ini,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.