‘Aku Layak’ Perlu Dikikis Jika Mahu UMNO Terus Maju – Timbalan KB Tangga Batu

Kuala Lumpur – Sindrom ‘aku layak’ dalam UMNO perlu dikikis jika anggotanya serius mahu melihat parti itu terus maju, kata Timbalan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Abu Bakar, yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, berkata sindrom berkenaan jika wujud hanya membantutkan perkembangan Umno dan menghilangkan daya saing anggota parti untuk maju.

“Akhirnya bila gagal dapat apa yang mereka mahu, jawatan dan sebagainya yang mereka rasa mereka layak, mereka akan menyalahkan sistem dan hilang semangat untuk bersama-sama dalam perjuangan parti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara ke-14, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga pengerusi alumni kelab berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Abu Bakar mengingatkan anggota alumni supaya sentiasa ‘semak dan imbang’ dengan melihat semula objektif penubuhan alumni itu, antaranya untuk menyumbang tenaga dan kemahiran masing-masing yang diperoleh di luar negara untuk kemajuan parti.

Alumni berkenaan sehingga kini mempunyai kira-kira 1,500 anggota berdaftar daripada kesemua 81 kelab UMNO yang ditubuhkan di seluruh dunia. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.