Mangsa Ditarik Pusaran Air

KUANTAN – “Tiada sikap pelik yang ditunjukkan mangsa sebelum kejadian melainkan meminta agar bot fiber dihantar kepadanya dengan segera.

Demikian luahan saksi kejadian, Abd Jamal Affandi, 38, sebelum kejadian bot fiber ditarik pusaran air sehingga hanyut dibawa arus yang menimpa abang sepupunya, Jamali Ali, 44 bersama anaknya, Megat Mohd Nazli, 17, kira-kira jam 7.40 malam, kelmarin.

Menurutnya, mangsa meminta sepupu dan abang sulungnya yang berada di Pekan untuk menghantar bot sebagai bantuan kepadanya untuk mengangkut keluarganya di Perkampungan Sungai Isap Jaya, di sini.

“Selepas menerima bantuan dia bersama anaknya menghantar saudaranya ke jalan raya utama dan ingin terus menggunakan bot fiber untuk kembali ke rumah membantu ahli keluarga lain yang masih terperangkap.

“Sungguh tidak sangka saat mereka berpatah balik, bot fiber tersebut terlanggar ombak bot fiber lain yang berselisih dengan mereka dan sedikit hanyut ke tengah.

“Malangnya tanpa diduga dalam masa yang sama enjin bot tersebut tiba-tiba mati dan anaknya tidak pandai mendayung lantas terpusing ke dalam putaran air lalu tenggelam dan dibawa arus tali air,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambahnya, sehingga kini (semalam) sudah hampir 24 jam mangsa masih belum ditemui dan kerja-kerja mencari dan menyelamat masih teruskan pasukan penyelamat.

“Anak mangsa yang terlibat merupakan anak kedua dan baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia masih belum ditemui.

“Waktu kejadian ada terdengar suara anaknya menjerit meminta tolong tetapi hilang begitu sahaja dibawa arus deras, lebih-lebih lagi keadaan yang semakin gelap menyukarkan kami,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.