Tommy Thomas Digesa Letak Jawatan, Dah Tiga Bulan Kes Adib Belum Ada Pendakwaan

SHAH ALAM – Pas mendesak Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas meletak jawatan segera kerana masih gagal melakukan pendakwaan ke atas suspek pembunuhan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, pihaknya membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 Peringkat Jawatankuasa semalam.

“Peguam Negara sehingga ke hari ini masih gagal memulakan pendakwaan terhadap pembunuh Allahyarham Adib meskipun setelah hampir tiga bulan selepas Mahkamah Koroner Shah Alam mengesahkan Allahyarham Adib telah mati dibunuh.

“Adakah siasatan polis masih belum lengkap atau pihak Peguam Negara sendiri sengaja melengahkan pendakwaan tersebut seolah-olah menggambarkan beliau sendiri mempunyai agenda berkepentingan dalam kes ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Berita Berkaitan;

Mohamad Abduh juga Ahli Parlimen Bachok itu berkata, Tommy juga telah menerima kritikan langsung daripada pihak Hakim Koroner Shah Alam yang mengendalikan inkues terhadap kematian Allahyarham Adib.

“Ini telah disebutkan dalam penghakiman Mahkamah Koroner Shah Alam yang menjelaskan tindakan Peguam Negara campur tangan dalam inkues sebagai “menyalahi prinsip perundangan”, bersifat “subjudis” selain menganggap inkues hanya sebagai ‘permainan wayang’ dan ‘rubber stamp’,” katanya.

Justeru, katanya, sewajarnya kesemua justifikasi itu menguatkan lagi desakan supaya Thomas meletakkan jawatan sebagai Peguam Negara.

“Jelas beliau (Tommy) tidak lagi ada kredibiliti untuk jawatan yang penting dalam negara ini,” katanya.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.