Lim Kit Siang Dakwa Tanjung Piai Akan Lebih Makmur Jika Calon PH Menang

PONTIAN – Kemenangan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini bakal memberikan kelebihan kepada penduduk Tanjung Piai, terutamanya dari segi kemajuan dan pembangunan ekonomi, kata Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Bercakap pada sesi Forum Kopitiam di Kampung Penerok, di sini, Rabu malam, Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, masyarakat di sini harus memahami bahawa Karmaine akan mempunyai sokongan dari Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Johor.

Ini kerana, jelasnya lagi, kedua-dua kerajaan itu dipimpin oleh parti Pakatan Harapan.

“ADUN Pekan Nenas (Yeo Tung Siong) memberitahu saya, jika Karmaine menang, mereka boleh bekerja bersama-sama untuk membangunkan Tanjung Piai dan Pekan Nenas. Ini satu kombinasi yang bagus.

“Dan sudah tentu, memandangkan kerajaan negeri di bawah PH, kerajaan persekutuan juga di bawah PH, kami mempunyai kemampuan dan ruang yang mencukupi untuk membangunkan Tanjung Piai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Kit Siang, menyoal kewibawaan calon Barisan Nasional Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sepanjang dua penggal beliau menjadi Ahli Parlimen di Tanjung Piai.

“Pernah tak beliau menyoal atau bersuara mengenai skandal 1MDB sepanjang dua penggal menjadi Ahli Parlimen? Tidak pernah.

“Sebab itu beliau tidak akan mampu menjadi suara semak dan imbang di dalam Dewan Rakyat,” kata Kit Siang lagi.

Lain-lain berita;

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.