Tiga Cabang PKR Di Sabah Buat Pemilihan Semula Hujung Minggu Ini

PETALING JAYA – Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Rashid Din hari ini mengesahkan 3 bahagian di Sabah akan menjalani pemilihan semula pada hujung minggu ini.

Katanya, pemilihan semula di PKR Bahagian Tawau dan Keningau akan diadakan Sabtu ini, manakala bahagian Pensiangan keesokannya.

Beliau berkata, pemilihan di Tawau dan Keningau terpaksa dibatalkan susulan pergaduhan antara penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR.

“Bagi bahagian Pensiangan, kami perlu melakukan pemilihan semula kerana masa mengundi terpaksa dilanjutkan disebabkan terlalu ramai pengundi.”

PKR Bahagian Keningau dan Tawau mengadakan pemilihan pada 3 November lalu, manakala Pensiangan pada Ahad lalu.

Keputusan rasmi 22 daripada 25 bahagian di Sabah menunjukkan Azmin mendahului Rafizi dengan 1,611 undi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dimuat naik ke laman web PKR, Azmin mendapat 9,325 undi berbanding 7,714 undi diperolehi Rafizi.

Rafizi baru-baru ini mendakwa pelbagai masalah timbul dalam pemilihan di Sabah yang menyebabkan beliau kehilangan 3,000 undi kepada lawannya.

Katanya, masalah itu termasuk sambungan internet yang lemah, kekurangan pencetak untuk menyediakan kod QR bagi pengundi, pusat mengundi gagal memuatkan pengundi yang ramai. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.