“Tak Ugut, Kami Nak Jumpa Menteri” – Pemandu Teksi

SHAH ALAM – “Kami tak ugut menteri.”

Demikian kata Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang mendakwa ada pemandu teksi mengugut beliau.

Menurut Shamsubahrin, beliau hanya mahu bertemu menteri dan membincangkan pelbagai isu berbangkit berhubung kebajikan pemandu teksi.

“Kita tak ugut sebab dua minggu lepas saya dibenarkan berjumpa Setiausaha Politik dia (Anthony Loke). Saya jumpa dia, bincang dengan cara baik, dengan cara berhemah, saya bangkitkan isu-isu yang ada.

“Beliau terima semua pendapat saya dan dia pun setuju untuk adakan mesyuarat bersama menteri, saya dan dia (Setiausaha Politik).

“Lepas dua minggu jumpa dia, saya telefon dan mesej dia tapi tak berjawab pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shamsubahrin dalam kenyataannya sebelum ini mendakwa ribuan pemandu teksi dijangka mengadakan perhimpunan aman di bangunan Parlimen Khamis ini sekiranya dalam masa terdekat masih belum dibenarkan bertemu Anthony Loke.

Menurutnya, perhimpunan aman itu dijangka akan disertai 3,000 pemandu teksi dari seluruh negara dan tidak akan bersurai selagi belum bertemu menteri atau timbalan menteri pengangkutan.

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsubahrin menegaskan jika niat untuk berjumpa dan berbincang pun susah dipenuhi, apa lagi yang mereka boleh lakukan untuk luahkan masalah mereka.

“Kalau kita jumpa nak bincang pun susah, bukan kita nak ugut, habis itu kita nak buat macam mana? Kita kenalah pergi Parlimen sampai dia (Anthony Loke) keluar jumpa kita.

“Kalau dia suruh kita jumpa Setiausaha Politik, kita dah jumpa dan dia dah nak buat mesyuarat tapi bila hubungi, semua tak balas, jadi macam mana?” soalnya.

Katanya lagi, tidak wajar mengatakan beliau mahu mengugut menteri kerana sebelum ini Shamsubahrin sentiasa menyokong menteri dan PH.

“Tak bolehlah buat saya macam anak tiri. Saya nak datang seorang saja, bukan nak bawa satu kontena pemandu teksi datang. Jangan putar belit kenyataan kita.

“Saya berhak bersuara sebab saya yang suruh semua pemandu sokong PH. Takkanlah kita dilayan macam anak tiri pula,” katanya.

Ketika ditanya perkembangan himpunan di bangunan Parlimen Khamis nanti, beliau memaklumkan lebih 3,000 pemandu menyatakan kesediaan mereka untuk berhimpun.

“Pemandu teksi dari seluruh Malaysia menghubungi kami dan mengatakan mahu menyertai himpunan itu. Jika sebelum ini kami jangka hampir 3,000 orang, kali ini lebih 3,000 orang dijangka hadir,” katanya. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.