PTPTN Realistik, Kerajaan Tiada Duit Dalam ‘Kantung’

SHAH ALAM – Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Malaysia menyatakan langkah yang diambil Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam Belanjawan 2019 bagi peminjam PTPTN merupakan satu bajet yang realistik.

Presidennya, Zamri Mohd Isa berkata, bagaimanapun pengumuman PTPTN itu bukanlah langkah yang terbaik berbanding langkah yang diambil PTPTN dalam Belanjawan 2018 di mana terdapat pemberian diskaun serta inisiatif lain yang ditawarkan kepada peminjam.

Menurutnya, kerajaan PH hari ini dilihat tidak mampu memberikan tawaran buat peminjam PTPTN lebih baik dari tahun lepas disebabkan kesilapan besar memansuhkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Mansuh GST kepada SST… dalam masa yang sama memberikan cuti GST selama tiga bulan dan kerajaan hilang pendapatan… kerajaan tidak mampu berbelanja dan memberikan inisiatif kepada rakyat terutamanya peminjam PTPTN.

“Sebelum ini kita tahun kerajaan PH memperjuangkan PTPTN tetapi hari ini apabila mereka menjadi kerajaan, mereka gagal menunaikan apa yang mereka nak tawarkan kepada peminjam PTPTN,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Zamri berkata, tidak ada gunanya meminta kerajaan PH untuk mengkaji semula bayaran balik secara potongan berjadual antara dua hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Menurutnya, kerajaan PH sudah membuktikan mereka tidak mampu untuk menunaikan janji dan janji yang dibuat sebelum menjadi kerajaan sebelum ini merupakan janji yang tidak realistik.

“Kehilangan pendapatan besar kerajaan dengan memansuhkan GST kepada SST memberikan domino effect kepada ekonomi negara.  Kalau kita nak kerajaan kaji atau nak minta lebih dari kerajaan, kita takut ekonomi negara akan terancam.

“Bajet ini realistik, kerajaan tak ada duit dalam kantung, tak boleh bagi pada rakyat khususnya peminjam PTPTN,” katanya.

Menurutnya, kerajaan PH wajar meminta maaf kepada rakyat khususnya anak-anak muda yang merupakan peminjam PTPTN kerana gagal menunaikan janji.

Lima langkah diperkenalkan kerajaan bagi membantu peminjam PTPTN membayar balik pinjaman mereka mulai tahun depan, termasuk memberi potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Belanjawan 2019 baru-baru ini, berkata langkah lain ialah memperkenal pembayaran balik secara potongan berjadual antara dua dan 15 peratus daripada pendapatan bulanan pinjaman.

Pengumuman berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat bahkan pemimpin pembangkang kerana ia dilihat bakal membebankan peminjam PTPTN bahkan tidak memberi keistimewaan kepada pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama.

Bekas Pengerusi PTPTN, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpendapat tidak semua lepasan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama mendapat pengecualian pembayaran semula berdasarkan Belanjawan 2019.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan mencadangkan potongan pinjaman kepada peminjam daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan Kelas Pertama yang difahamkan untuk peringkat Ijazah sahaja.

Katanya, dasar baharu ini memberi makna bukan semua peminjam mendapat keistimewaan tersebut. – SINAR HARIAN

2 thoughts on “PTPTN Realistik, Kerajaan Tiada Duit Dalam ‘Kantung’

  • November 8, 2018 at 1:02 am
    Permalink

    Bayar lah seberapa mampu bolih bantu pulih ekonomi negara!!! Pinjam bayar lah!

    Reply
  • November 8, 2018 at 1:03 am
    Permalink

    Dulu kerajaan bantu..skrg da kerja byr lah .. jujur ikhlas bertanggungjawab..

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.