MFL Mohon Maaf Selepas Kualiti Trofi ABK Dipertikai

MALAYSIA Football League (MFL) memohon maaf selepas berdepan kritikan ramai berhubung kualiti trofi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2018.

MFL memaklumkan terdapat kesilapan dalam tempahan yang dibuat dan trofi yang diberikan kepada pemenang tahun ini bukan seperti yang telah dipersetujui Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“MFL telah mengenal pasti kakitangan yang telah membuat kesilapan dalam pesanan untuk membuat trofi tersebut dan dia cuba untuk menutup perkara tersebut tanpa sebarang maklumat yang diberitahu kepada pihak pengurusan MFL.

“MFL memohon maaf kepada semua pemenang dan juga komuniti bola sepak Malaysia di atas insiden yang tidak mencerminkan matlamat, visi dan piawaian MFL dan Tunku Pengerusi kami yang sangat menekankan standard dan kualiti dalam semua aspek,” kata MFL dalam satu entri di akaun Facebook.

MFL juga berjanji akan menghubungi semua pemenang dan menggantikan trofi tersebut, sesuai dengan standard dan kualiti yang ingin dipersembahkan.

Sebelum ini, beberapa portal melaporkan salah satu trofi yang dimenangi Muhammad Safawi Rasid patah sejurus tamat acara tersebut pada Isnin.

Pada Isnin, Muhammad Safawi memenangi tiga anugerah iaitu pemain paling bernilai, pemain tengah terbaik dan pemain muda harapan.

Selain itu, kualiti trofi untuk kategori Penjaring Terbanyak didakwa tidak menggambarkan prestij anugerah berkenaan. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.