Wanita Dibaham Harimau Depan Pengunjung

Petugas wanita di Zoo Kaliningrad, Russia, cedera parah diterkam harimau Siberia dalam kejadian disaksikan pengunjung dan terselamat selepas mereka membuat bising serta melontar batu dan objek lain ke arah haiwan itu.

Menurut Mirror, harimau dinamakan Typhoon itu menyerang penjaga zoo berkenaan selepas pintu kandangnya terbuka secara tidak sengaja ketika wanita itu membawa makanan untuk haiwan berkenaan, lapor Agensi, petik MD.

Laporan media Eropah hari ini, tidak menyatakan bila kejadian itu berlaku, namun ia dipercayai beberapa hari lalu.

Pengunjung yang berada di atas menjerit serta membaling batu ke arah harimau itu. Beberapa lelaki mengangkat meja dan kerusi dari kafe berhampiran dan melemparkannya ke arah harimau sebelum haiwan berkenaan melepaskan mangsa.

Petugas zoo wanita itu cedera parah digigit serta dicakar dan dihantar ke hospital berhampiran.

“Muka petugas zoo itu berdarah. Dia menjerit dan cuba melawan harimau,” kata seorang saksi.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menutup sementara zoo berkenaan untuk siasatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.