Uqasha Senrose Dilamun Cinta Hefny Sahad

STRATEGINYA yang tidak terlalu ghairah memuat naik gambar bersama kekasih mahupun menjaja kisah peribadi menjadikan hubungan cinta yang terjalin hampir setahun lalu sukar dihidu pihak luar.

Namun, sekitar Februari lalu, pemilik nama Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu mengakui ‘rapat’ dengan kekasih hatinya, Hefny Sahad tetapi masih berteka-teki mengenai hubungan mereka.

Mengambil kesempatan genap setahun bercinta, pelakon jelita berusia 25 tahun itu turut berpendapat telah tiba masanya untuk dia berkongsi ceritera fasa bahagia menjalin hubungan cinta bersama pengacara dan pelakon berkenaan.

Hadir ke acara Anugerah Skrin 2017 pada minggu lalu, pasangan itu membuat kemunculan sulung tampil bersama sebagai pasangan kekasih di hadapan khalayak sebaik Hefny mengumumkan tentang hubungan mereka baru-baru ini.

Tidak lelah mengukirkan senyuman tatkala bercerita perihal kekasih hatinya, wanita kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang itu turut mengakui telah bersedia untuk membawa hubungan mereka ke arah yang lebih serius, sekali gus mengakhiri zaman bujangnya.

Meskipun mempunyai perancangan ke arah itu, Uqasha bagaimanapun menaruh harapan agar dapat mengikat tali pertunangan terlebih dahulu sebelum bergelar isteri kepada Hefny atau nama sebenarnya, Mohammad Hefny Sahad.

Katanya, sepanjang tempoh setahun bercinta, keluarga kedua-dua belah pihak telah merestui hubungan mereka selain menasihati agar segera mendirikan rumah tangga bagi mengelakkan fitnah.

“Tiada niat untuk merahsiakan hubungan atau cuba menipu peminat. Namun, saya berasakan perkara yang masih belum pasti lebih baik tidak terlalu diperbesarkan.

“Sejujurnya, saya dan dia (Hefny) telah berkawan sejak empat tahun lalu tetapi kami mula serius pada November 2016. Disebabkan telah genap setahun bercinta, jadi kami mengambil keputusan untuk mengongsikannya kepada umum,” terang Uqasha seraya tersenyum sambil menundukkan sedikit wajahnya tanda malu.

Tali pertunangan

Beberapa kali dilihat merapikan bahagian rambut yang dibiarkan menutup dahi, riak wajahnya jelas kelihatan dia sedang bahagia menyulam cinta bersama kekasih hati.

Apatah lagi apabila dia mengumumkan keputusan untuk bertunang. Bagaimanapun, pelakon drama rantaian Sebenarnya Saya Isteri Dia itu enggan memperincikan tentang persiapan mahupun tarikh acara berkenaan akan berlangsung.

Katanya, kesibukan jadual kerja masing-masing menjadikan perancangan pertunangan sukar dibuat. Disebabkan itu, Uqasha memilih untuk tidak memperincikan mengenai hal tersebut.

“Apabila bercinta pastinya setiap pasangan itu mempunyai perancangan untuk mengakhiri hubungan mereka ke gerbang perkahwinan. Hal sama yang turut saya harapkan berlaku. Bagaimanapun, buat masa sekarang cukuplah sekadar memberitahu bahawa kami mempunyai perancangan untuk bertunang terlebih dahulu.

“Selanjutnya biarlah menjadi simpanan kami. Sekiranya apa yang dirancang berjalan lancar, insya-Allah saya akan kongsikan berita baik berkenaan dengan peminat,” tuturnya dalam nada manja.

Keputusan mengikat tali pertunangan itu secara tidak langsung memberi ruang buat dirinya melakukan persediaan sebelum menggalas tanggungjawab sebagai isteri kelak.

Kesibukan di lokasi penggambaran juga menjadi antara punca Uqasha masih belum berkesempatan untuk menetapkan tarikh majlis mahupun melakukan sebarang persiapan.

“Saya kini menjalani penggambaran filem baharu bertajuk Hantu Kak Limah 2 bersama Mamat Khalid termasuk beberapa drama rantaian dan telefilem.

“Syukur selepas naskhah Hero Seorang Cinderella, rezeki saya bertambah murah dan agak sibuk mengaturkan jadual kerja,” terangnya bersungguh-sungguh.

Tarikan pada Hefny

Melanjutkan cerita mengenai jejaka kelahiran Johor yang berjaya mencuri hatinya itu, Uqasha mengambil masa seketika sambil meleretkan senyuman manja dan menangkup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan.

Melontarkan senyuman, dalam nada manja Uqasha memberitahu, sikap prihatin terhadap keluarga termasuk dirinya menjadi tarikan magnet lantas membuatkannya jatuh cinta.

Dalam nada berseloroh, Uqasha mengatakan dirinya yang memulakan langkah pertama mendekati Hefny. Namun, malang buatnya apabila salam perkenalan yang dihulurkan tidak berbalas.

Tanpa mengalah Uqasha berusaha mengambil hati Hefny sehingga hos rancangan Muzik-Muzik itu meluahkan hasrat membawa hubungan ‘teman tapi mesra’ itu ke fasa yang lebih serius.

“Dia seorang lelaki yang tidak cemburu buta mahupun cuba mendekati wanita lain di belakang saya. Kepercayaan dan kesetiaan yang diberikan itu membuatkan saya tertarik, selain tidak terdetik untuk berlaku curang.

“Sikapnya yang penyabar dan tidak jemu melayan kerenah saya membuatkan Hefny tampak sempurna untuk dijadikan sebagai suami.

“Meskipun dalam keadaan marah, Hefny tidak pernah sekali pun meninggikan suara mahupun memperbesarkan perkara remeh seperti cemburu dengan gandingan saya dalam drama,” kata Uqasha perihal kekasihnya itu.

Menurut Uqasha juga, Hefny tidak pernah mempertikai kemesraan antara dirinya dengan pelakon Fikry Ibrahim iaitu gandingannya dalam drama rantaian Hero Seorang Cinderella.

Bersikap profesional, kata Uqasha, lelaki itu juga tidak memperbesarkan perkara tersebut dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pelakon untuk meyakinkan penonton tentang keserasian mereka di kaca televisyen.-kosmo

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.