Stacy ‘Gayat’ Suara Tiba-Tiba Jadi Macam Lelaki

Stacy Anam tidak dapat menggambarkan sesuatu yang lebih buruk sekiranya seseorang penyanyi kehilangan suara – atau tidak kurang buruknya – bersuara seperti lelaki.

Beranggapan risiko seperti itu tidaklah mustahil dan mungkin perlu ditelan selama-lamanya, Stacy mula dipengaruhi sikap yang bukan sifat semula jadinya.

Penyanyi yang sering memberi persembahan bertenaga itu kemudian mula terjebak memikirkan perkara yang bukan-bukan hingga hilang motivasi, selain dirundung perasaan tidak bersemangat.

“Saya hilang semuanya, tidak lagi boleh menyanyi sampai perlu menjerit-jerit, tetapi yang keluar ialah suara lelaki,” katanya.

Namun, mujur kebimbangan Stacy turut dikongsi dan difahami suaminya, Akim Ahmad. Justeru penyanyi Mewangi itu tanpa henti memberi sokongan padu dan ada kalanya dalam bentuk yang tidak disangka-sangka.

“Sampai suami membelikan sebuah set karaoke untuk saya berlatih menyanyi di rumah,” katanya.

Stacy atau nama Islamnya Ummu Syaikhah Stacy, 27, ditemui selepas membuat persembahan sempena Anugerah Skrin (ASK) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra kelmarin.

Perubahan ketara pada kotak suaranya itu mengakibatkan dia sukar menyanyi.

Ingat kekal selamanya

Kata Stacy ia mungkin dipengaruhi oleh jangka waktu berehat panjang daripada aktiviti nyanyian.

Penyanyi Not For Sale itu hilang dari radar industri hiburan untuk jangka waktu dianggarkan lebih setahun. Namun ia bukan tanpa alasan, sebaliknya sengaja dibuat bagi menjaga kesihatan bayi dalam kandungan.

Keadaan itu berlanjutan hingga selepas anak jati Penampang, Sabah itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan yang diberi nama Eshaal, 17 Februari lalu.

“Pelbagai usaha dilakukan termasuk pergi ke kelas vokal dan menari, tetapi tetap tak berhasil. Saya benar-benar bimbang seandainya tidak boleh menyanyi lagi selepas bersalin.

“Ingatkan suara akan kekal buat selama-lamanya macam biasa tetapi ia boleh hilang begitu saja sekiranya kita berhenti menyanyi,” katanya.

 

Selepas melalui tempoh bertenang, Stacy akui dia kini lebih lega kerana masalah untuk memulihkan suaranya yang dianggap berpunca daripada kurang stamina itu hanya bersifat sementara.

Malah Stacy berkata dia menjumpai ‘magis’ bagi mengatasi kekurangan stamina yang dialami – caranya adalah tidak jemu-jemu pergi ke gimnasium.

“Ini (ASK) adalah persembahan berskala besar pertama selepas saya bersalin.

“Secara jujur, ia memang memenatkan dan saya bagai hampir pengsan. Nasib baik saya berlatih di gimnasium, kalau tidak pasti lebih sukar,” katanya.

Menurut lepasan Akademi Fantasia itu sesuatu yang diimpikan tidak akan terjadi kalau tiada usaha.

“Walaupun berpuas hati sekarang, tetapi saya sentiasa mahukan yang lebih. Misi saya sekarang untuk menjadi Stacy yang lebih baik daripada sebelum mengandung,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.