Saya Tak Pernah Melancong Sendirian

KUALA LUMPUR: Mengaku kerap berkunjung ke Jakarta untuk mengambil angin, penyanyi, Elyana, menjelaskan beliau tidak pernah bercuti seorang diri di sana.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, berkata beliau jatuh cinta dengan budaya dan kehidupan masyarakat di negara berkenaan, membuatkan dirinya sering mencuri masa ke Indonesia.

“Setakat ini saya belum pernah lagi bercuti ke Indonesia seorang diri. Cuma Insta Story saya yang menampilkan saya sendirian. Ada juga peminat meluahkan kebimbangan melihat saya bercuti seorang diri di tempat orang, namun realitinya berbeza.

“Lokasi yang sering dikunjungi di Indonesia pula ialah kawasan pedalaman kerana saya menyukai budaya, gaya hidup dan makanan mereka. Oleh itu, saya dilihat sering berkunjung ke negara seberang kerana gemarkan suasana di sana.

“Selain itu, saya juga menggunakan kesempatan berada di negara orang untuk mengikuti kelas agama yang dianjurkan di tempat dikunjungi,” katanya BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu Kalis Rindu ini memaklumkan, beliau turut mengambil pendekatan mengikuti kelas vokal bagi menambah ilmu pengetahuan mengenai muzik dan persiapan untuk berentap dalam program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Mendapat bimbingan daripada Cikgu Arol, Elyana mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari olehnya berhubung teknik nyanyian. Selain ilmu asas dalam bidang muzik, Elyana juga berhasrat untuk membina keyakinan diri bertanding di pentas pertandingan.

“Saya memang tidak pernah mengambil kelas berkaitan muzik sebelum ini. Jadi, selepas ini saya akan lebih faham apa yang ditegur oleh juri,” katanya yang menyampaikan lagu Masih Cinta dendangan asal kumpulan Kotak pada saingan minggu kedua program terbabit.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.