Program SL1M Berjaya Bantu 138,398 Graduan

KUALA LUMPUR – Seramai 138,398 graduan telah dibantu 22 syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC) serta melalui program anjuran Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) setakat 31 Oktober ini.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz, kesemua GLIC dan GLC yang mengambil bahagian, masih melaksanakan program ini.

“Program ini dilaksanakan secara tanggungjawab sosial korporat dan semua kos perbelanjaan latihan graduan ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak syarikat,” katanya dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Ia bagi menjawab soalan daripada Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) yang ingin mengetahui mengenai peranan dan sumbangan Khazanah Nasional dalam pelaksanaan program SL1M.

Othman berkata, pada 2015 dan 2016, seramai 5,160 siswazah telah dilatih di bawah program Khazanah Nasional SL1M – GREEN dengan perbelanjaan sebanyak RM89 juta.

“Daripada jumlah itu, kira-kira 77 peratus peserta program tersebut berjaya mendapat pekerjaan selepas tamat latihan selama tujuh bulan,” katanya.

Khazanah merupakan antara syarikat yang terlibat dengan pelaksanaan program SL1M yang diperkenalkan pada 1 Jun, 2011.

Bagi memperluaskan pelaksanaan Program SL1M dalam syarikat swasta, Othman berkata, ia turut dijadikan antara syarat bagi syarikat yang ditawarkan kontrak perolehan kerajaan termasuk pelanjutan kontrak.

Syarikat tersebut hendaklah memperuntukkan sekurang-kurangnya satu peratus daripada nilai kontrak untuk melaksanakan program SL1M berdasarkan had yang ditetapkan.

Selain itu, dalam Bajet 2018 baru-baru ini, katanya sejumlah RM40 juta diperuntukkan bagi program temuduga terbuka yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dan GLC terbabit.

Kerajaan juga akan mewujudkan pusat sehenti menggabungkan agensi seperti JobsMalaysia, Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan SL1M di Pusat Transformasi Bandar (UTC). – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.