Khir Rahman Nak ‘Perjudi’ Maruah Untuk Oscar

Selepas muncul sebagai pemenang pelakon lelaki terbaik untuk kategori filem di majlis Anugerah Skrin (ASK) 2017 – yang dianggapnya sekadar suatu kebetulan – Khir Rahman mengidam untuk menggengam Oscar pula.

Itu ialah impian yang ingin diburu Khir kalau di persada antarabangsa. Namun pengarah dan pelakon itu menjanjikan kepuasannya itu tidak akan terhenti di situ.

Selain ingin menikmati kegemilangan di anugerah berprestij itu, Khir mengakui dia turut berangan-angan memiliki wang berkoyan-koyan menerusi hasil kutipan filem pecah panggung.

“Saya menyasarkan untuk meraih pencapaian besar menerusi dua buah filem. Satu nak bikin wang berjuta-juta, satu lagi nak jadi anak Malaysia pertama memenangi Oscar,” katanya.

Khir atau nama penuhnya Khairulizam Abdul Rahman, 45, ditemui selepas menerima anugerah menerusi filem Mamat Khalid, Rock Bro, di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur kelmarin.

Disebabkan masih di peringkat penyelidikan, Khir bagaimanapun sedikit keberatan untuk menceritakan lebih lanjut mengenai perancangan besarnya itu.

Jumpa formula ‘beli jiwa’

“Untuk filem yang dirancang dibawa ke Oscar, apa saya dapat kongsikan ialah filem membawa tema kemanusiaan itu bakal menelan belanja yang dianggarkan sekitar RM2.5 juta.

“Filem itu masih menggunakan judul sementara iaitu Maruah. Boleh saya katakan jika tajuk itu muktamad dan dibawa ke Oscar ia akan kekal juga berdiri sebagai Maruah,” katanya.

Menurut anak Datuk A Rahman Hassan itu, bagi filem yang disasarkan mencetus fenomena kutipan pecah panggung tempatan pula – yang diberi judul KL Champion – ia juga masih dalam peringkat kajian.

i

Katanya, semasa membuat kajian itulah dia berhasil menemui petua sesebuah naskhah yang diyakini mampu membeli jiwa penonton hingga laris di pasaran khususnya tempatan.

“Saya perlu mengambil masa lima hari untuk membelek dan menonton filem yang mendapat sambutan di pawagam Malaysia. Antaranya KL Gangster dan Hantu Kak Limah.

“Alhamdulillah Tuhan membantu dan menemukan saya dengan lapan perkara yang boleh menjamin penonton turun ke panggung selama tiga hari berturut-turut.

“Tiga perkara itu adalah AMP (syarikat pengedar filem antarabangsa), teaser dan pelakon popular,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut anugerah yang diterimanya pada malam ASK 2017 lalu, Khir berkata dia tidak menyangka namanya menjadi pilihan juri.

“Saya hidup dengan mementingkan silaturrahim dan rezeki. Hadir ke acara sebegini semata-mata untuk meraikan kawan-kawan tetapi tidak sangka pula menang.

“Ini yang saya terjemahkan sebagai bukan lebih bagus atau lebih handal daripada orang lain, tetapi ia sekadar rezeki,” katanya.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.