Jovian Kongsi Kegembiraan Bergelar Ayah Di Instagram

KUALA LUMPUR – Sejak permata hati dilahirkan isterinya, kehidupan pereka fesyen ternama, Datuk Jovian Mandagie berubah sekelip mata.

Kegembiraan Jovian menimang cahaya mata sulungnya hasil pernikahan dengan Datin Nina Sabrina diterjemah dan dikongsi beliau dengan orang ramai di laman sosial Instagram peribadinya, @jmandagie yang mempunyai pengikut seramai 507,000 orang.

Sejak hari pertama dilahirkan pada 1 November lalu, Jovian sudah memuat naik 18 foto berkisar kelahiran puterinya di laman sosial termasuk foto kunjungan rakan-rakan selebriti yang berkongsi kegembiraan dengan pasangan itu.

Seperti juga pasangan suami isteri lain yang baru menimang cahaya mata, Jovian dan Nina yang juga anak kepada Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, detik-detik manis itu tentu sekali mahu diraikan dengan orang-orang tersayang.

Antara selebriti tanah air yang berkunjung ke hospital berkenaan untuk melawat Nina dan bayinya ialah penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa, Yusry KRU dan isteri, Lisa Surihani serta Ning Baizura sekeluarga.

Pada masa ini, Jovian dan Nina sepakat untuk merahsiakan nama anak mereka dan hanya mahu bayi yang dilahirkan dengan berat 3.37 kilogram di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur itu dikenali dengan pangkal nama J sahaja.

Istimewanya, J yang baru berusia enam hari sudah mempunyai akaun Instagramnya sendiri iaitu mandagie_jr.

Akaun Instagram mandagie_jr yang memiliki 83 keping foto bagaimanapun berada di mod peribadi dengan jumlah pengikut hanya dua orang sahaja.

Tentu sekali ramai peminat Jovian dan Nina tidak sabar mengumumkan nama si comel itu! – UTUSAN ONLINE

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.