Fattah Bukan Lagi Pelakon ‘Kayu’ – Fazura

KUALA LUMPUR: Aktres, Nur Fazura Sharifuddin, memuji lakonan lakonan Fattah Amin selepas dua kali bergandingan dengan bintang lelaki yang kini kencang digosip menjalinkan hubungan istimewa dengannya itu.

Kali pertama disatukan dalam drama rantaian, Hero Seorang Cinderella, mereka kemudian digandingkan semula menerusi supertelefilem, Wanita Terindah, siaran sebuah saluran berbayar.

Kata Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-27 ini, secara peribadi, beliau melihat lakonan Fattah menunjukkan peningkatan positif dalam naskhah arahan Joon Goh itu.

“Prestasi lakonannya dalam supertelefilem ini sangat bagus. Ternyata dia bukan pelakon ‘kayu’ lagi. Saya bangga dengan peningkatan lakonannya. Dulu saya sendiri bukannya pandai berlakon, tetapi seiring dengan pengalaman yang diperoleh, kita belajar untuk menjadi lebih baik.

“Saya nampak dia bekerja keras untuk memberikan yang terbaik dalam kerjaya lakonan. Dia juga bersikap terbuka untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Kualiti itulah yang patut ada dalam diri seseorang pelakon, iaitu keinginan untuk belajar,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton supertelefilem berkenaan di sini.

Sementara itu, Fattah yang juga Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 menarik nafas lega andai mutu lakonannya dilihat menunjukkan peningkatan.

Menerusi naskhah yang disiarkan sejak 2 November lalu itu, sebagai Fahim Aiman, Fattah ditonjolkan sebagai pemuda yang begitu mengagungkan ibunya (lakonan Liza Othman). Dia juga bekerja sebagai jurugambar di sebuah syarikat penerbitan akhbar yang memiliki perwatakan panas baran, kurang penyabar dan degil.

“Wanita Terindah ialah telefilem pertama lakonan saya. Watak Fahim pula sangat berat dan berbeza daripada apa yang pernah saya jayakan sebelum ini. Ia karakter yang sangat mencabar.

“Namun, saya bertuah kerana banyak dibantu oleh pengarah dan pelakon yang hebat, termasuk Liza Othman dan Fazura sendiri. Saya turut melihat pencapaian ini sebagai hasil kerja berpasukan.

“Saya dan Fazura juga tidak mengambil masa lama bagi mencipta keserasian. Malah, dia banyak membantu saya menjayakan watak ini dengan baik,” katanya.-BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.