Bekas Jurutera Disyaki Eksport Serbuk Ketum Ditahan

PADANG BESAR – Polis Padang Besar menemui cara baharu penjualan daun ketum yang diproses menjadi serbuk untuk dieksport dengan penangkapan seorang lelaki bekas jurutera Mesin Teler Automatik (ATM).

Ketua Polis Daerah itu, Supt Ghazani Abdul Ghani bekas jurutera berumur 42 tahun itu disyaki menjalankan aktivitinya dengan mempromosi produknya melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram sejak 2015, lapor Bernama.

Katanya lelaki itu disyaki mengeksport serbuk daun ketum dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan mengisytiharkannya sebagai serbuk daun inai bagi mengabui pihak berkuasa.

“Pasukan Petugas Khas IPD Padang Besar yang menyerbu rumah lelaki itu di Kampung Alor Sena Paya, Jalan Kaki Bukit dekat sini pada 2 November lepas menemui 81 pek serbuk ketum seberat satu kilogram satu pek.

Siasatan awal mendapati lelaki itu mengaku telah membuat lebih 60 penghantaran serbuk ketum ke negara Eropah antaranya Jerman, United Kingdom, Itali, Kanada dan Belanda juga ke Amerika Syarikat sejak 2015 pada harga US$50 (RM215) satu pek,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ghazani berkata polis bagaimanapun hanya menemui resit transaksi sehingga tahun 2016 dan beberapa peralatan untuk memproses dan membungkus bahan berkenaan turut dirampas di rumah lelaki itu manakala antara Januari hingga Oktober tahun ini sahaja dia disyaki berjaya meraih pendapatam lebih RM209,000.

Polis kini sedang memantau lebih 15 laman sesawang yang mempromosi penjualan serbuk ketum termasuk produk berasaskan daun ketum dari luar negara, katanya.

Beliau menambah lelaki itu yang menjadikan Thailand sebagai pusat transit penghantaran tempahan produknya, mendapat bekalan di dalam dan luar Perlis serta rakannya di Indonesia bagi memenuhi permintaan pelanggan sekiranya tidak mempunyai bekalan yang mencukupi.

Reman selama empat hari terhadap bekas jurutera itu yang berakhir hari ini disambung tiga hari lagi sehingga 9 November ini, kata Ghazani dan menambah serbuk ketum itu akan dihantar kepada Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.