Banjir: Perlu Rancangan Penyelesaian Menyeluruh

Satu pelan penyelesaian menyeluruh diperlukan sebagai usaha untuk menangani masalah banjir yang melanda di kawasan Hulu Perak terutama di Parlimen Gerik dan Lenggong, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri akan memohon kepada kerajaan persekutuan untuk mengatasi masalah banjir yang berlaku di daerah itu.

Katanya banjir kilat yang berlaku di dua kawasan Parlimen itu beberapa hari lepas adalah disebabkan taburan hujan sejak akhir-akhir ini yang agak luar biasa.

“Kerajaan negeri mahukan satu penyelesaian kerana aliran air sungai yang deras melalui anak-anak sungai telah menyebabkan berlakunya banjir kilat sehingga mengakibatkan beberapa jambatan kecil runtuh,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa kawasan dilanda banjir di Lenggong, malam tadi.

Dalam kejadian semalam, lebih 10 kampung di Lenggong dilanda banjir kilat termasuk di Malau, Sumpitan dan Kampong Geluk.

Selain itu, Zambry berkata beliau akan berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta majlis daerah untuk menggunakan sedikit peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan berkenaan.

“Kita perlu duduk bersama dan saling bantu-membantu dalam menyelesaikan semua masalah seperti jalan, jambatan dan sungai untuk digunakan di kawasan yang memerlukan dengan segera.

“Saya tidak mahu lagi dengar timbulnya masalah antara jabatan apabila menangani masalah banjir,” katanya.

 

Tambahnya, kerajaan negeri kini dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan masalah banjir kilat.

“Walaupun air akibat banjir kilat telah surut tetapi kita perlu memberikan perhatian kerana taburan hujan yang luar biasa berlaku tanpa kita jangkakan,” katanya.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.