Liwat II: Bicara Selesai, Keputusan Kemudian

Putrajaya – Mahkamah Persekutuan pada Jumaat selesai mendengar rayuan terakhir Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengetepikan hukuman penjara lima tahun ke atas beliau kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Bagaimanapun panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria akan menetapkan satu tarikh yang akan diberitahu kemudian bagi mengumumkan keputusan rayuan Anwar itu.

Prosiding rayuan yang berlangsung selama lapan hari selesai selepas mahkamah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan.

Prosiding hari kelapan hari ini bermula pukul 3 petang dan berakhir hanya kira-kira 50 minit kemudian.

Panel hakim yang mendengar rayuan Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif serta tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abdul Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Pada 7 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar dituduh di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.