JPJ Melaka Sedia Pemeriksaan Cermin Gelap Percuma

Melaka – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyediakan perkhidmatan pemeriksaan cermin gelap secara percuma bagi memastikan kenderaan di negeri itu menggunakan cermin gelap mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pengarahnya Azaharuldin Abdullah berkata pemeriksaan itu disediakan di Bahagian Penguat Kuasa JPJ Bukit Katil bermula 9 pagi hingga 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat.

“Kita masih memberi peluang kepada pengguna kenderaan jalan raya di negeri ini untuk mereka menukar cermin gelap yang tidak dibenarkan kepada yang mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas operasi bersepadu jabatan itu di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka-Jasin) menghala ke Muar di Bukit Piatu semalam.

Beliau berkata JPJ Melaka juga mengeluarkan advokasi iaitu notis nasihat tentang cermin gelap melibatkan 859 kenderaan di negeri itu dalam Ops Khas yang dijalankan di beberapa lokasi di sekitar Melaka termasuk di Plaza Tol Ayer Keroh, Simpang Ampat dan Plaza Tol Kajang pada 1 hingga 5 November lepas.

Azaharuldin berkata advokasi itu bertujuan mendidik pengguna agar memahami peratusan ketelusan cahaya penggunaan cermin gelap yang ditetapkan sebelum penguatkuasaannya pada Mac tahun depan.

Pelaksanaan peraturan baru itu menetapkan kadar ketelusan cahaya nampak bagi cermin belakang dan sisi penumpang belakang dikurangkan daripada 50% kepada 30% manakala bagi cermin hadapan dan sisi pemandu pula masing-masing kekal pada kadar 70% dan 50%.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 39 advokasi cermin gelap diberikan kepada 39 pemilik kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam operasi bersepadu yang dilakukan selama dua jam bermula 10 malam Khamis.

“Sebanyak 187 kenderaan diperiksa dan 102 saman dikeluarkan melibatkan 157 kesalahan dalam operasi yang turut melibatkan lima agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya.

Katanya sebuah motosikal dipercayai kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu disita bagi tindakan lanjut dan tiga pengguna jalan raya berusia 21, 24, dan 28 tahun turut ditahan AADK kerana positif dadah syabu.

Baca: Ops Khas: JPJ Terima Kecaman Hebat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.