ISMA: Rayu Keputusan Mahkamah Mengenai Pondan

Kuala Lumpur – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan memfailkan rayuan kepada mahkamah rayuan mengenai keputusan yang dibuat terhadap golongan transgender.

Menurut Pengerusi Undang-undang Divisyen, Muhammad Lutfi Abdul Khalid, rayuan itu perlu, memandangkan keputusan mahkamah itu boleh digunakan sebagai contoh untuk isu sama pada masa depan.

“Keputusan itu boleh digunakan sebagai rujukan di negeri lain dan Wilayah Persekutuan, sekiranya kes sama berlaku.

“Ini kerana, pihak berkuasa mengenai undang-undang Islam negeri tidak mempunyai pilihan lain, selain terikat dengan keputusan mahkamah rayuan,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik ke laman ISMA.

Tambahnya lagi, rayuan itu amat penting untuk menguatkan lagi kekuasaan pihak berkuasa undang-undang Islam, bagi membendung aktiviti isu homoseksual, biseksual dan transeksual (LGBT) dalam komuniti Islam.

Dalam keputusan yang boleh dijadikan contoh itu, mahkamah rayuan memansuhkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 yang menjadikan satu kesalahan jenayah bagi lelaki berpakaian seperti perempuan, kerana ia melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu dibuat, selepas tiga lelaki beragama Islam merayu di mahkamah rayuan, setelah Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perlembagaan enakmen syariah.

Mahkamah mengiktiraf hak transgender yang mengalami disforia gender (kekeliruan jantina), di mana mereka berpakaian dan berlagak seperti perempuan serta menyifatkan enakmen syariah tidak selari hak yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Hakim, Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus berkata, pakaian seseorang adalah satu contoh kebebasan yang dijamin di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

 

Baca: Mahkamah Rayuan Iktiraf Hak Pondan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.