Banjir Lumpur Cameron Highlands: Mayat Suami Isteri Ditemui

Cameron Highland – Mayat suami isteri rakyat Indonesia yang dilaporkan hilang di kebun sayur di Sungai Kabok dalam kejadian banjir lumpur dan tanahh runtuh petang Rabu lalu ditemui pasukan mencari dan menyelamat pagi ini.

Mayat mangsa wanita ditemui pada jam 11.04 pagi JJumaat, manakala mayat lelaki ditemui enam minit kemudian.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan penemuan mayat pasangan suami isteri itu.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat sebelum ini berkata pihaknya telah memulakan operasi mencari dan menyelamat dua warga Indonesia yang dilaporkan dan dipercayai tertimbus runtuhan tanah di kebun sayur Sungai Kabok di Lembah Bertam.

Menurut Morni, pihaknya terpaksa menggunakan empat ekor anjing pengesan untuk menjejaki mangsa yang tertimbus.

“Kalau tiada mangsa yang ditemui, bomba akan rujuk kepada pihak polis yang berkemungkinan mangsa dipercayai sempat melarikan diri.

“Ini kerana tidak ada saksi yang melihat mangsa tertimbus,” katanya sebelum ini.

Katanya, usaha mencari mangsa berdasarkan laporan yang dibuat oleh pihak majikan kepada polis dan makluman mereka kepada bomba.

Morni berkata 27 anggota dan pegawai bomba, 10 tentera dan 10 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terbabit dalam usaha mencari mangsa di lokasi kejadian, katanya.

Dalam kejadian itu, tiga orang disahkan maut dengan seorang pelajar lelaki, R Punesh, 13, ditemui lemas di Sungai Terlom, Kampung Raja, manakala seorang pekerja kebun sayur warga Indonesia yang dikenali sebagai Anipan, 48, ditemui tertimbus di Lembah Bertam.

Seorang lagi mangsa, seorang pekerja kebun sayur warga Nepal, Md Yousuf Miya, 66, meninggal dunia selepas ditemui tertimbus di Jalan Ulu Merah, Ringlet.

Kejadian yang berpunca daripada hujan lebat itu, turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Semalam, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.