KUALA LUMPUR – Mengenang setahun Taufan al- Aqsa, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kumpulan Islam di Palestin ini mampu berperang sehingga setahun dan masih tidak berjaya ditundukkan oleh Zionis Israel.
Beliau malah memuji ini satu kejayaan yang sangat hebat.
“Hari ini kita melihat kedatangan bala tentera Ahzab selepas peristiwa Taufan al-Aqsa yang berlaku di Gaza. Seluruh kuasa besar dunia bergabung dengan Zionis Israel bagi membantu mereka untuk menentang Gaza yang kecil. Sebuah kawasan kecil berkeluasan beberapa kilometer yang menempatkan beberapa juta orang sahaja.
“Gaza dikepung kerana yang berkuasa di Gaza ialah kumpulan Islam Harakah Muqawamah Islamiyah (Hamas). Kita memperingati setahun peristiwa Taufan al-Aqsa, sebuah operasi ketenteraan yang dilancarkan oleh Ham*s dan disertai oleh kumpulan-kumpulan Islam yang lain.
“Genap setahun sedangkan sebelumnya kerajaan-kerajaan Arab boleh berperang hanya beberapa hari sahaja sudah menyerah kalah. Kumpulan Islam di Palestin ini mampu berperang sehingga setahun dan masih tidak berjaya ditundukkan oleh Zionis Israel. Ini satu kejayaan yang sangat hebat,” puji Hadi dalam kenyataan pada Isnin.
Pada masa yang sama, beliau mengingatkan jangan dilupa bahawa tahun ini genap 100 tahun pengkhianatan yang dilakukan oleh orang Islam sendiri terhadap kerajaan Uthmaniyah pada tahun 1924.
“Selepas kejatuhan Uthmaniyah dilaksanakan Perjanjian Sykes-Pycot untuk membahagikan jajahan takluk Uthmaniyah kepada para penjajah. Mereka yang menyokong menjatuhkan Uthmaniyah dilantik menjadi raja dan pemimpin.
“Palestin diserahkan kepada orang Yahudi melalui Perjanjian Balfour setelah Theodor Hertzl, pemimpin Zionis gagal merasuah Sultan Abdul Hamid II yang memimpin kerajaan Uthmaniyah yang sangat lemah ketika itu,” katanya.
Sementara itu ujarnya lagi, musuh Islam berjaya memecahkan umat Islam melalui semangat perkauman, semangat kebangsaan dan isu-isu mazhab sehingga berperang di antara satu sama lain.