The Star Diberi Tempoh 24 Jam Buat Permohonan Maaf – S/U Akhbar

SHAH ALAM – Setiausaha Akhbar kepada Datuk Mujahid Yusof Rawa menggesa akhbar The Star agar memohon maaf kerana mengambil kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkaitan isu khalwat di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan. 

Siti Zulaikha Zulkifli berkata, tindakan lebih tegas akan diambil terhadap akhbar berbahasa Inggeris tersebut sekiranya permohonan maaf tidak diterima dalam tempoh 24 jam.

“Saya amat menghormati kebebasan media, namun ini tidak bermakna pihak media boleh menulis berita di luar konteks sehingga tercetusnya perdebatan awam dan memberi impak negatif kepada menteri.

“Saya menggesa pihak The Star memohon maaf secara terbuka kerana menulis laporan yang salah sehingga menyebabkan kekeliruan dan permohonan maaf itu perlu disiarkan di akhbar berkenaan serta di portal mereka.

“Sekiranya perkara ini tidak dibuat dalam masa 24 jam, tindakan lebih tegas akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau merujuk kepada laporan edisi cetak akhbar itu yang bertajuk ‘No More Moral Policing’ dan bagi penerbitan dalam talian (online) yang bertajuk ‘No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives says Mujahid’.

Menurut Zulaikha, perenggan pertama rencana tersebut bukan kata-kata yang dituturkan Mujahid, sebaliknya ia adalah tafsiran penulis artikel semata-mata.

Beliau merujuk perenggan pertama itu yang berbunyi: 

“No more knocks on the door in the middle of the night and no more breaking down of doors by the religious authorities investigating reports of khalwat or other alleged wrongdoings.” (Tiada lagi ketukan pintu di tengah malam hari dan tiada lagi pintu yang dipecahkan pihak berkuasa agama yang menyiasat laporan khalwat dan dakwaan kesalahan lain.)

Jelas Zulaikha lagi, transkrip penuh wawancara itu telah disiarkan dalam Facebook menteri berkenaan.

The Star semalam melaporkan kenyataan Mujahid yang didakwa sebagai berkata, ‘tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.’

Laporan itu juga menulis, Mujahid didakwa berkata bahawa ‘apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan’.

Laporan itu menjadi tular sehingga menimbulkan perbahasan dalam kalangan agamawan dan orang awam. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.