Tamrin: TMJ Tak Kebal, Patut Disiasat Kerana Tuduhan Serius

Oleh: Shuhaniza Said

SHAH ALAM: Anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Tamrin Abdul Ghafar mencabar Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menampilkan bukti bersabit dakwaannnya bahawa kerajaan menggunakan peranti khas untuk mengintip istana Johor.

Tambah anak kedua Tun Abdul Ghafar Baba itu, sekiranya Tunku Ismail gagal berbuat demikian, kerajaan wajar mengambil tindakan tegas kerana baginda tidak tertakluk kepada kekebalan atau imuniti, sebagaimana rakyat yang lain.

“Dia (Tunku Ismail) tuduh kerajaan guna alat Israel untuk mengintipnya dan keluarga. Sepatutnya dia kena kemukakan bukti atas dakwaan tersebut.

“Jika dia gagal berbuat demikian, pihak polis sepatutnya mengambil tindakan kerana dia hanya anak raja, dan dia tidak tertakluk kepada imuniti atau kekebalan sama seperti rakyat biasa,” katanya kepada SuaraTv. 

Malah Mohd Tamrin turut mencabar Tunku Ismail agar mengambil tindakan undang-undang terhadap dirinya bagi menafikan dakwaan tersebut.

“Kalau dia tak setuju, dia boleh ambil tindakan undang-undang terhadap saya,” kata Mohd Tamrin.

“Saya buat teguran sebagai seorang rakyat biasa kerana merasakan tuduhannya terhadap kerajaan sangat serius. Dia hanya berlindung di sebalik gelarannya,” katanya lagi.

Mohd Tamrin dalam satu posting di Facebook beliau sebelum ini menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap Tunku Ismail kerana membuat tuduhan berat terhadap kerajaan yang didakwa mengintipnya dan Sultan Johor

Tulisan Mohd Tamrin bertajuk Tuduhan Jahat, Mengapa Polis Takut Bertindak yang disiarkan dalam Facebook beliau pada 20 September lalu dikecam pelbagai pihak kerana disifatkan sebagai ‘celupar’ dan penghinaan kepada institusi beraja. 

Baru-baru ini Angkatan India Setia Johor (AISJ) menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap Mohd Tamrin di atas ‘keceluparannya’ itu.

“Terpulang… saya juga terbuka dengan teguran siapa-siapa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman sebelum ini menafikan kerajaan sedang ‘memerhatikan’ istana Johor sebagaimana dakwaan Tunku Ismail. 

Mohd Azis berkata, kerajaan sedia menyiasat perkara itu jika benar wujudnya pengintipan sebegitu di Malaysia.

“Kerajaan menafikan dan jika benar Tunku Mahkota Johor ada maklumat perkara tersebut, kami minta beliau maklumkan kepada kami,” petik kata Mohd Azis. -SuaraTv 

 

7 thoughts on “Tamrin: TMJ Tak Kebal, Patut Disiasat Kerana Tuduhan Serius

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.