Empat Kampung Di Jitra Dilanda Banjir Kilat

HUJAN lebat lebih satu jam yang melanda Jitra, malam tadi, menyebabkan berlakunya banjir kilat hingga mengakibatkan beberapa rumah di empat kampung di ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 0.7 meter.

Kampung terjejas, Kampung Padang Panjang, Mukim Malau; Kampung Lahar, Kampung Perupok dan Kampung Lubuk Ipoh.

Pegawai Pertahanan Awam Kubang Pasu, Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, sehingga jam 2 pagi tadi, hujan lebat sejak jam 9.45 malam menyebabkan paras air di Sungai Bukit Wang melimpah.

“Berikutan itu, jalan dari Simpang Empat Lahar menuju ke Kampung Padang Panjang sejauh kira-kira tiga kilometer dilimpahi air deras dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun katanya, tiada pusat pemindahan sementara dibuka disebabkan kesemua mangsa tidak mahu berpindah selepas didapati air semakin surut.

Namun katanya, pihaknya akan membuat pemantauan semula di lokasi berkenaan sekiranya hujan berterusan hari ini.

“Saya nasihatkan semua penduduk di daerah ini terutama yang tinggal berhampiran sungai supaya bersiap sedia mengemas barangan mereka sekiranya hujan berterusan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.