Dulu Persoal Ketelusan SPR, Tapi Sekarang PKR Yang Main Taktik Kotor

KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden PKR, Datuk Johari Abdul meluahkan rasa kecewa kerana pemilihan parti kali ini dicemari dengan taktik kotor.

Menurut Johari, beliau sendiri merupakan salah seorang mangsa kempen kotor selepas bahan kempennya disabotaj, apabila gambarnya dalam senarai ‘cai’ ditampal dengan calon lain, Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar.

Johari berkata, edaran tersebut dikesan sejak beberapa minggu lalu dan sudah merujuk perkara itu kepada Xavier,  semalam.

“Saya ingatkan masalah itu dah selesai tapi sewaktu membantu Pemilihan PKR Cabang Wangsa Maju hari ini saya dapati isu sama masih berlaku.

“Saya dah beri amaran namun suara saya tak diendahkan. Perkara ini akan dipanjangkan kepada lembaga disiplin PKR dan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk diambil tindakan kerana mencemar demokrasi,” katanya.

Menurutnya, perkara sedemikian sungguh memalukan apatah lagi PKR sebelum ini begitu lantang mempersoalkan ketelusan dalam SPR.

“Dulu marah SPR buat benda tak elok dalam PRU tapi kenapa buat benda sama dalam pemilihan parti? Apa beza PKR dengan parti lawan kita.

“Ini tindakan tiada maruah calon walaupun nak kempen biarlah secara sihat bersaing dalam satu parti,  satu keluarga. Orang seperti ini tidak boleh kita pilih sebagai pemimpin,” katanya. 

Johari merupakan salah seorang daripada 12 calon yang akan merebut empat kerusi Naib Presiden PKR. Empat penyandang kerusi berkenaan sebelum ini turut sama bersaing bagi jawatan berkenaan. 

Penyandang jawatan itu adalah Nurul Izzah Anwar; Samsul Iskandar Mohd Akin; Dr A Xavier Jeyakumar dan Chua Tian Chang (Tian Chua). 

Antara muka baru yang menawarkan diri bertanding bagi jawatan terbabit ialah Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen; Ahli PKR Cabang Puchong, Michael Tamil; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan; Ahli PKR Cabang Padang Serai, Prof Datuk Dr G Balasubramaniam; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, dan Johari sendiri.

Tiga tempat bagi jawatan sama akan dibuat secara lantikan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.