Anggota Penyelamat Sebak Temui Mayat Ibu dan Anak Berpelukan

PALU – Mayat seorang wanita ditemui masih dalam keadaan memeluk erat bayinya.

Itu antara penemuan pilu kejadian meragut nyawa ribuan penghuni di perkampungan Petobo di sini, yang dikambus lumpur hitam hidup-hidup.

Perasaan sebak jelas tidak dapat dibendung Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan yang tiba paling awal ke lokasi bencana besar di kota utara Sulawesi di sini, serta menyaksikan sendiri situasi yang berlaku pada Selasa lalu.

Dia turut berkongsi pengalamannya memasuki kawasan bencana Petobo bagi melihat sendiri proses mencari dan menyelamatkan ribuan mangsa yang mati beramai-ramai itu.

“Kebetulan ketika itu pasukan penyelamat menemui mayat wanita dikenali sebagai Saparni berusia 24 tahun.

“Paling menyedihkan mangsa didapati memeluk bayi perempuannya berusia lima bulan. Berdasarkan keadaannya, ibu malang itu dipercayai cuba menyelamatkan diri namun gagal dan ditelan ‘ombak’ lumpur,” katanya.

“Sedih berbaur simpati melihat keadaan puluhan mayat ditemui di kawasan ini. Ini bukan bencana biasa, saya turut dapati masjid dan banyak sekolah agama turut hilang ditelan bumi.

“Apa yang berlaku cukup menginsafkan saya terhadap kebesaran kuasa Allah SWT. Saya banyak beristighfar dan memikirkan mesej yang mahu disampaikan Tuhan,” katanya yang turut tinggal sementara di kem Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Sulteng, Sulawesi Tengah.

“Saya turut merasai pengalaman menjadi pelarian mangsa gempa apabila terpaksa tinggal di pusat pemindahan mangsa gempa itu,” katanya.

Menurutnya, dia sendiri menghadapi kesukaran untuk keluar dari Palu berikutan lapangan terbang bandar itu ditutup untuk pesawat komersil selain kesukaran mendapatkan petrol.

“Keadaan amat huru-hara. Ramai warga kota ini mahu lari meninggalkan bandar kerana ketakutan selain bimbang gempa susulan lebih kuat,” katanya.

Beliau memberitahu pihaknya turut berusaha mengumpul dana khusus bagi membantu mangsa yang memerlukan di Sulawesi Tengah. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.