Tentera Dera Anak Tiri, Kementah Serah Pada Panglima ATM

Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) untuk mengambil tindakan terhadap anggota tentera yang ditahan di Kuantan, Pahang semalam berhubung kes mendera anak tirinya, sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan penuh berkaitan kes berkenaan dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

“Kes ini dilihat sebagai satu penderaan (melibatkan anggota tentera dan anak tiri)… sepatutnya tiada kaitan dengan Kementerian Pertahanan.

“Apa pun saya tidak boleh beri komen apa-apa melainkan tunggu polis buat siasatan, sekiranya disabitkan bersalah kita serahkan pada PAT untuk ambil tindakan,” katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri program kacau bubur asyura anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Bersatu di Jitra hari ini.

Semalam, seorang anggota tentera berusia 35 tahun dan pasangannya ditahan polis bagi membantu siasatan kes dera anak mereka berusia 10 tahun yang lehernya diikat pada tong gas menggunakan rantai besi.

Anggota tentera berkenaan yang bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang, Kuantan dan isterinya berusia 30 tahun direman selama seminggu bagi membolehkan siasatan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.