Surau, Masjid Perlu Tarik Lebih Ramai Jemaah – Mohamad Hasan

REMBAU – Jawatankuasa surau dan masjid di seluruh negeri ini disaran mencari idea bagi menarik lebih ramai jemaah untuk mengimarahkan tempat ibadah berkenaan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata fungsi surau dan masjid bukan sahaja sebagai tempat ibadah semata-mata, sebaliknya harus diadakan aktiviti-aktiviti bermanfaat yang selari dengan syarak bagi menarik lebih ramai orang untuk hadir.

“Kita dapat melihat surau dan masjid ketika ini sudah tidak lagi nampak ceria dan tidak gemilang. Masjid boleh dijadikan sebagai institusi masyarakat, di situ kita berpakat, bermuafakat, berunding dan mendidik anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Karnival Imarah Masjid Olek Sekampung di Masjid Kariah Siliau di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Datuk Selamat Paigo dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seremban Datuk Abdul Halim Abdul Latif.

Terdahulu, Mohamad menunaikan solat Maghrib berjemaah di masjid tersebut.

Kira-kira 1,000 orang hadir pada karnival tersebut yang turut menampilkan Syamsul Amri Ismail (Syamsul Debat) sebagai penceramah jemputan. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.