SPAD Tahan Pemandu Teksi Caj Penumpang RM950

KUALA LUMPUR, 7 Okt ― Dua penumpang warga Bangladesh dipaksa membayar tambang teksi sebanyak RM950 untuk perjalanan jarak kurang 10km.

Pada awalnya mereka, dari Kuala Terengganu, dihampiri pemandu teksi di KL Sentral yang sedia menghantar ke Setapak dengan caj RM50 seorang.

“Selepas tiba di kawasan itu, pemandu teksi itu sebaliknya meminta bayaran tambang RM950,” kata mangsa, usia 30-an, seperti di lapor Harian Metro.

“Saya bertengkar dengan dia namun pemandu teksi itu tetap berkeras dan mengunci pintu teksi berkenaan.”

Dalam insiden Sabtu lalu, mangsa bagaimanapun terpaksa membayarnya kerana bimbang terdapat kayu dan batang besi dalam kenderaan itu.

Mereka diancam akan dipukul jika mengambil nombor pendaftaran teksi itu sebelum mereka membuat aduan di balai polis Salak Selatan.

Sementara itu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berjaya menahan pemandu lelaki 30-an itu dalam satu operasi malam kelmarin.

Jurucakap SPAD berkata kenderaan suspek disita dan lelaki itu disiasat bawah Seksyen 22 dan Seksyen 75 Akta Pengangkutan Awam Darat. – Malaymail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.