Seorang Maut, 2 Cedera Kereta Langgar Steamroller

Seorang lelaki maut manakala dua wanita masing-masing cedera parah dan ringan selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya berhampiran Kampung Selenggok, Jalan Sempadi-Lundu di Lundu kira-kira 8.15 pagi tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, ketika kejadian, lelaki terbabit Serald Ak. Michael, 22, yang memandu Mitsubishi Lancer dalam perjalanan dari Kuching ke Lundu melanggar sebuah steamroller dari arah bertentangan.

Katanya steamroller itu digunakan untuk melakukan kerja-kerja pembinaan jalan.

Lelaki itu yang tersepit di dalam keretanya meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang wanita warga Indonesia yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera parah dan seorang lagi cedera ringan, katanya.

Menurut jurucakap itu, anggota bomba terpaksa memotong bumbung kenderaan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Beliau berkata mayat lelaki terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sementara dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Lundu untuk menerima rawatan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.