Purata Penggunaan Pengangkutan Awam Bertambah – SPAD

Purata harian penggunaan pengangkutan awam merekod kenaikan 12 peratus kepada 638,608 dari Januari hingga Ogos tahun ini berbanding 570,021 tahun lalu.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) berkata ia bertambah selepas penurunan 9 peratus tahun lalu susulan proses kajian harga tambang rel bandar yang dilakukan pada tahun 2015.

Namun ia berkata jumlah tersebut tidak termasuk penggunaan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan 1 yang merekod kenaikan purata harian 101,024 kerana ia hanya dilancarkan tahun ini.

SPAD berkata Laluan LRT Kelana Jaya mendahului pertambahan tahun ini dengan 26 peratus kepada 271,250 daripada 215,855, diikuti Laluan LRT Ampang yang naik 14 peratus kepada 184,931 daripada 161,779 sementara KLIA Transit naik 10 peratus kepada 19,420 daripada 17,719.

Namun penggunaan beberapa pengangkutan awam lain menurun tahun ini susulan kerja-kerja penambahbaikan termasuk perkhidmatan KTM Komuter yang menurun kepada 103,074 daripada 108,023 tahun lepas, susulan Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang menjejaskan kekerapan tren.

“Kami menjangka penggunaan akan menjadi stabil dan naik semula apabila kerja-kerja naik taraf KVDT yang meliputi menaik taraf landasan dan sistem isyarat siap pada 2019, bagi memodenkan rangkaian KTM Komuter sejauh 42 kilometer,” kata SPAD dalam satu kenyataan.

Ia berkata penggunaan KL Monorel turut menurun sebanyak 11 peratus susulan penggantian tren empat gerabak berikutan aspek keselamatan, yang menjejaskan kekerapa tren.

Namun menurut SPAD, kajian Indeks Kepuasan Pelanggan menunjukkan 84 peratus responden berpuas hati dengan pengangkutan awam tahun lepas, bertambah 10 peratus daripada tahun sebelumnya.

“Dapatan ini menunjukkan kerajaan berada di landasan betul dalam merancang dan melaksanakan inisiatif di bawah Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara.

“Rekod penyampaian projek pengangkutan awam The Greater Kuala Lumpur/Klang Valley yang tepat pada masanya baru-baru ini membuktikan proses rancangan masa depan kini berjalan lancar,” katanya.

SPAD berkata ia akan melancarkan Perancang Perjalanan dalam suku keempat tahun ini dan melaksanakan sistem tiket bersepadu menjelang 2019 bagi menarik lebih ramai pengguna dengan menjadikan transit kurang mengalami gangguan.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.