Polis Marin Gagalkan Cubaan Seludup Minyak, Barang Kawalan Ke Filipina

SANDAKAN – Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup 4,400 liter minyak dan pelbagai barang kawalan ke negara jiran susulan serbuan ke atas sebuah kapal nelayan di kuala sungai Batu 2, dekat sini, semalam.

Turut ditahan dalam serbuan pada kira-kira jam 10.30 pagi itu ialah lelaki berusia 31 tahun yang juga pemegang pas dokumen Pendaftaran Orang Asing  Khas (IMM13) dipercayai kru kapal.

Serbuan dijalankan ketika sepasukan anggota PPM melaksanakan Ops Tango susulan maklumat mengenai kegiatan penyelewengan barang kawalan, sebelum mengesan sebuah kapal nelayan berwarna kelabu yang sarat dengan muatan berlabuh di perairan itu.

Pemeriksaan lanjut menemui beberapa barangan kawalan termasuk dua tong berisi 400 liter diesel, 13 tong dan 43 bekas berisi 4,000 liter petrol dan 30 tong gas petroleum cecair (LPG).

Turut ditemui 66 bungkus tepung gandum, 67 bungkus minyak masak, 58 bungkus gula pasir, 43 bungkus tepung beras selain 18 karung baja ammonium nitrat.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz, berkata nilai rampasan termasuk kapal kayu dianggar RM239,000.

“Minyak dan semua barang kawalan dipercayai cuba diseleweng bagi tujuan penyeludupan ke Filipina.

“Semua barang rampasan dan tangkapan dibawa ke markas operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Yazib berkata, kes akan dirujuk kepada pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.